Maaflah kalau ada orang cakap saya campur urusan, kata Hamzah

Hamzah Zainuddin
Hamzah Zainuddin
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menolak dakwaan bahawa beliau terlibat dalam campur tangan pertukaran pegawai kanan polis.

Tegasnya, keputusan penangguhan pertukaran yang melibatkan pegawai kanan polis dibuat berdasarkan suara majoriti dalam mesyuarat Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

"Saya minta maaflah kalau ada orang kata saya campur tangan.

"Betullah saya menteri tetapi saya juga adalah Pengerusi SPP," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Wacana Meja Bulat bersama badan bukan kerajaan (NGO) Muslim berkaitan kalimah ALLAH di sini pada Isnin.

Menurutnya, kedudukan Pengerusi SPP adalah paling tinggi dalam PDRM kerana ia adalah lantikan Yang di-Pertuan Agong.

"Iya (jawatan) Ketua Polis Negara (KPN) watikah (daripada) Agong tetapi kedudukan suruhanjaya lebih tinggi kerana keputusan dibuat dalam majlis SPP berbanding seorang individu," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai dakwaan penglibatannya dalam menangguhkan pertukaran pegawai kanan polis yang membabitkan 71 orang termasuk ketua polis negeri berkuatkuasa 12 April.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Pertukaran jawatan: KPN akan bertemu Menteri KDN

KPN belum bertemu Hamzah

Hamzah langgar Akta Polis jika campur tangan pertukaran pegawai

Ditanya adakah beliau sedia berjumpa dengan KPN, Tan Sri Abdul Hamid Bador berhubung perkara itu, Hamzah enggan mengulas lanjut.

"Soalan lain," katanya.

Terdahulu, Abdul Hamid mengesahkan pertukaran jawatan pegawai kanan polis telah ditangguhkan Menteri Dalam Negeri.

Katanya, sebagai KPN, beliau mempunyai kuasa untuk mengawal selia PDRM berdasarkan peruntukan undang-undang.

Sehubungan itu, satu perjumpaan dengan Hamzah akan diatur bagi menjelaskan perkara berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Hanya SPP ada kuasa’

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/133132/BERITA/Nasional/Hanya-SPP-ada-kuasa

2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Sementara itu, mengulas mengenai wacana tersebut, Hamzah berkata, pihaknya mendengar pandangan daripada pelbagai sudut.

"Ada pakar perundangan, agama, politik dan sejarah yang memberi pandangan dan ia akan digabungkan agar diteliti dalam sebarang keputusan yang bakal diambil kelak," katanya.

Menurutnya, pelbagai aspek perlu dipertimbangkan supaya peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dapat didefinisi secara jelas.

"Daripada agama, kebebasan beragama atau segala apa yang perlu hendaklah dapat diambil kira supaya bukan hanya sekarang tetapi pada masa hadapan pun isu ini tak timbul lagi," katanya.

Katanya, satu pertemuan dengan NGO bukan Muslim akan turut disertainya.