Pertukaran jawatan: KPN akan bertemu Menteri KDN

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika Majlis Pelancaran Taman Angkat Amanita Kontinjen Selangor di Tapak Padang Surau An-Nur, Bandar Puteri, Klang pada Sabtu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika Majlis Pelancaran Taman Angkat Amanita Kontinjen Selangor di Tapak Padang Surau An-Nur, Bandar Puteri, Klang pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkaitan pelaksanaan pertukaran jawatan pegawai kanan polis.

Abdul Hamid Bador berkata, perjumpaan itu bagi menjelaskan tentang kedudukan serta kuasa autoriti selaku Ketua Polis Negara.

"Saya difahamkan pelaksanaan pertukaran jawatan pegawai kanan polis telah ditangguhkan Menteri Dalam Negeri.

"Tindakan saya mengeluarkan perintah pertukaran tersebut yang sepatutnya dilaksanakan saya selaku Ketua Polis Negara sepertimana undang-undang menyatakan Command and Control kawal selia PDRM (Polis Diraja Malaysia) ini adalah di bawah tanggungjawab saya sebagai KPN," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Taman Angkat Amanita Kontinjen Selangor di Tapak Padang Surau An-Nur, Bandar Puteri, Klang pada Sabtu.

Menurutnya, beliau telah mengeluarkan arahan pertukaran pegawai kanan membabitkan seramai 71 orang termasuk ketua polis negeri yang akan berkuatkuasa 12 April ini demi kebaikan semua.

"Saya mengeluarkan arahan pertukaran itu untuk kebaikan semua, tidak ada apa apa yang luar biasa. Ketika arahan penangguhan itu, saya sedang bercuti.

"Saya akan berjumpa dengan beliau (menteri) dan memberikan penjelasan teliti mengapa ia perlu diteruskan (proses pertukaran pegawai kanan )," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, tular di Facebook mendakwa campur tangan politik membabitkan menteri kabinet berlaku sehingga mengeluarkan arahan menangguhkan pertukaran ketua polis.

Kenyataan itu menyatakan bahawa "Nampaknya campur tangan politik dalam Command dan Contriol of PDRM dah melampau... dengarnya pertukaran KP yang diarahkan oleh KPN ditangguhkan dulu atas arahan menteri".