Sungai Keboi jadi warna hijau

Air Sungai Keboi berwarna hijau mendatangkan kebimbangan penduduk.
A
A

MALIM NAAR - Penduduk Kampung Tebing Tinggi di sini, terkejut dan bingung melihat air Sungai Keboi di kampung mereka bertukar menjadi warna hijau sejak dua hari lalu.

Kejadian pertama kali itu bukan sahaja mengundang pelbagai reaksi malah menimbulkan rasa bimbang sama ada air berkenaan selamat atau tidak memandangkan sungai tersebut sering dijadikan lubuk pengunjung menangkap ikan dan udang.

Salah seorang penduduk kampung, Mohd Munir Mohd Jabri, 28, berkata, dia ialah individu pertama menyedari Sungai Keboi tercemar dan bertukar menjadi warna hijau selepas melintasi jambatan di kampung tersebut ketika memandu lori.

“Masa saya lalu, saya terpandang kenapa air sungai tak warna coklat macam biasa, tapi hijau pekat dan saya berhenti melihatnya. Terkejut saya sebab sebelum ini tak pernah berlaku kejadian macam ini.

“Saya kemudian berjalan kaki menyusuri tepi sungai untuk mencari punca tapi hanya separuh saja kerana kawasan tersebut berhutan dan tidak selamat untuk dilalui,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.

Mohd Munir kemudiannya memberitahu kejadian kepada Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Tebing Tinggi, Ibrahim Sarip untuk melaporkan kepada pihak bertanggungjawab.

Mohd Munir (kiri), Ahli Majlis Daerah Kampar, Emmiza Hasmi Zul (tengah) dan Ibrahim menunjukkan Sungai Keboi yang tercemar.
Mohd Munir (kiri), Ahli Majlis Daerah Kampar, Emmiza Hasmi Zul (tengah) dan Ibrahim menunjukkan Sungai Keboi yang tercemar.

Menurut Ibrahim dia kemudiannya memaklumkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), namun mereka memintanya melaporkan kepada pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) kerana melibatkan pencemaran sungai.

“Alhamdulillah pihak JAS sudah datang ke kampung ini dan saya sudah tunjukkan kepada mereka sungai yang tercemar dan pegawainya memaklumkan akan bersama-sama mencari punca kenapa air bertukar menjadi warna hijau.

“Kami risau kalau sungai tercemar memandangkan air yang mengalir ini akan berkumpul dalam kolam takungan dipanggil Perak Hydro antara Kampung Bata dan Kampung Tanjung Bangkung yang menjadi tumpuan penduduk menangkap ikan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Kawalan Kanan JAS Perak, Mohammad Izwan Mohammad Aminuddin berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan dan mencari punca pencemaran Sungai Keboi.

“Bagi masa kami siasat dahulu dan akan cari puncanya sebelum dimaklumkan kerana aduan diterima tengah hari semalam, jadi kita akan jejak dahulu untuk dibuat penilaian,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia