Hakisan Sungai Pahang: Kubur Kampung Ganchong Hulu dipindahkan

Sebanyak 33 kubur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ganchong Hulu dipindahkan selepas berlaku hakisan di tebing Sungai Pahang. Gambar kecil: Zaini
Sebanyak 33 kubur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ganchong Hulu dipindahkan selepas berlaku hakisan di tebing Sungai Pahang. Gambar kecil: Zaini
A
A
A

PEKAN - Kebimbangan penduduk terhadap ancaman hakisan Sungai Pahang di kawasan tebing Tanah Perkuburan Islam Kampung Ganchong Hulu di sini lebih tiga tahun lalu berakhir apabila 33 kubur di situ telah dipindahkan pada Rabu.

Pengerusi Masjid Besar Ganchong, Mohd Nor Azmi Nordin, 67, berkata, proses pemindahan itu dilakukan lebih 30 kakitangan terdiri daripada pelbagai agensi diadakan selama dua hari bermula Selasa.

Menurutnya, semua kubur itu berjaya dipindahkan ke kawasan perkuburan Islam Padang Laka, dekat sini yang terletak kira-kira dua kilometer (km) daripada kawasan perkuburan yang lama.

"Kita bimbang, jika usaha memindah kubur tidak dilakukan sebelum musim tengkujuh akhir tahun ini, kemungkinan ada kubur yang akan hanyut dibawa arus Sungai Pahang apabila hakisan berlaku. Jadi keputusan memindahkan kubur ini dengan segera adalah langkah tepat.

"Kalau ikut rekod kubur ini sudah berusia antara tiga hingga sepuluh tahun dan masih barada dalam baik serta sempurna," katanya pada Rabu.

Penduduk setempat dan waris turut membantu agensi berkaitan bagi kerja-kerja pemindahan kubur di tanah perkuburan Islam Padang Laka.
Penduduk setempat dan waris turut membantu agensi berkaitan bagi kerja-kerja pemindahan kubur di tanah perkuburan Islam Padang Laka.

Agensi yang terlibat dalam kerja-kerja pemindahan kubur antaranya Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP); Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Pejabat Mufti Pahang, Jabatan Kesihatan Pekan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan dan Rela.

Beliau memaklumkan sebanyak 17 kubur telah dipindahkan pada Selasa manakala 16 lagi kubur dilakukan pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, operasi tersebut mengikut peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

"Kalau ikut jarak asal tanah perkuburan Islam Kampung Ganchong Hulu dari tebing Sungai Pahang kira-kira 10 meter sebelum ini.

"Tapi disebabkan banjir menyebabkan hakisan berlaku dan jaraknya kini hanya kira-kira dua meter," ujarnya.

Sementara itu, Zaini Abdul Kadir, 59 menzahirkan rasa syukur kerana kubur anak lelakinya dikebumikan pada 2016 telah selamat dialihkan ke kawasan perkuburan baharu.

Menurutnya, empat anaknya yang telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ganchong Hulu namun hanya satu sahaja yang terpaksa dipindahkan kerana terletak di tebing Sungai Pahang.

"Saya bersyukur dapat turut sama membantu operasi memindahkan kubur selama dua hari, rasa sayu melihat semua 33 kubur digali semula untuk dipindahkan ke kawasan perkuburan Islam Padang Laka," jelasnya.

Pada 2 Disember 2021, Sinar Harian ada melaporkan kebimbangan penduduk di Kampung Ganchong Hulu berikutan tanah perkuburan di kawasan mereka diancam hakisan Sungai Pahang.

Kawasan tanah perkuburan itu masih berbaki jarak dua meter dari Sungai Pahang dan mungkin akan berlaku hakisan tebing ketika berdepan dengan musim tengkujuh.