Zahid terus digesa berundur, beri peluang muka baharu

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika hadir pada Perasmian Persidangan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto Bernama
Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika hadir pada Perasmian Persidangan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO Pontian mengulangi gesaan supaya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berundur dan 'berehat' daripada dunia politik dengan rasa terhormat bagi memberi laluan kepada kepimpinan muka baharu menentukan hala tuju parti itu.

Ketuanya, Mohd Helmi Buang berkata, Ahmad Zahid perlu menerima hakikat itu kerana senario yang berlaku pada pasca Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 tidak menampakkan beliau dihormati oleh majoriti kepimpinan tertinggi parti.

Jelasnya, hal ini terbukti menerusi usul penggulungan Ahmad Zahid yang menggesa semua pemimpin UMNO yang memegang jawatan menteri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) meletak jawatan, akhirnya tidak dituruti mereka.

"Lebih malang, bila Ahmad Zahid menegaskan Barisan Nasional (BN) akan bergerak solo tanpa berbincang terlebih dahulu dengan rakan-rakan parti komponen seperti MCA dan MIC, bahkan 'memberi amaran' kepada Pas, perkara itu tidak disenangi pemimpin-pemimpin parti komponen sendiri.

"Bagi saya, PAU 2020 seolah-olah dijadikan medan mempertahankan individu dan menyerlahkan ketidaktentuan hala tuju politik yang cuba dibawa kepimpinan tertinggi UMNO diketuai Ahmad Zahid sendiri.

"Proses merawat atau mengubati parti adalah lebih baik daripada menyokong tanpa arah dan akhirnya sokongan itu membawa rebah," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata demikian sewaktu diminta mengulas mengenai isu kemelut dalaman yang dihadapi oleh kepimpinan UMNO seusai PAU 2020 diadakan, minggu lalu.

Kemelut dalaman yang timbul difahamkan membabitkan fraksi menyokong Ahmad Zahid serta fraksi pemimpin UMNO yang memegang jawatan dalam kerajaan PN dan tidak menyokong Presiden parti.

Artikel Berkaitan:

Hal ini berpunca daripada tindakan Ahmad Zahid mencabar mana-mana pemimpin UMNO meletak jawatan dalam kerajaan PN selain memberi bayangan parti itu bersedia bekerjasama dengan mana-mana parti 'ikhlas' bagi membentuk kerajaan pada pasca pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Sebelum itu, Mohd Helmi pernah menggemparkan negara apabila mengeluarkan kenyataan terbuka menggesa Ahmad Zahid segera 'berehat' daripada memimpin UMNO dengan rasa terhormat.

Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Jalaluddin Alias menegaskan, UMNO tidak boleh mengetepikan sebarang pandangan mana-mana pemimpin sekali pun dalam kalangan ahli akar umbi terutama berkaitan jajaran politik baharu.

Ketua UMNO bahagian Jelebu itu berkata, pandangan bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang mendedahkan kemungkinan terdapat kerjasama 'sedang dibina' antara UMNO-PKR-DAP perlu diberi perhatian serius kerana menyalahi dasar parti.

"Isu berkenaan tidak boleh ditolak bulat-bulat hanya kerana kepentingan pihak tertentu dalam parti.

"UMNO juga perlu menyelesaikan sebelum PRU15 tentang persefahaman antara gabungan parti, antara UMNO dengan Pas, atau pun dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana kalau kita buat selepas PRU, kemenangan kerusi itu tidak akan tercapai kalau gabungan diputuskan sebelum pilihan raya," katanya.