MOSTI, KKM akan putuskan dasar hospital swasta beli vaksin

Khairy (dua dari kiri) sambil diiringi Penyelaras Bahagian Kesihatan Daerah Timur Laut, Dr Azizah Ab Manan (kiri) ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Daerah Timur Laut di Kompleks Masyarakat Penyayang, Georgetown pada Khamis. - Foto Bernama
Khairy (dua dari kiri) sambil diiringi Penyelaras Bahagian Kesihatan Daerah Timur Laut, Dr Azizah Ab Manan (kiri) ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Daerah Timur Laut di Kompleks Masyarakat Penyayang, Georgetown pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi akan bermesyuarat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada minggu hadapan, bagi memutuskan dasar dan kerangka kerja untuk hospital swasta membeli vaksin terus daripada pembekal.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kebenaran telah diberi kepada hospital swasta untuk berunding dengan pembekal bagi pembelian vaksin Covid-19, namun perkara itu masih dalam peringkat awal.

Khairy berkata, beliau telah menerima surat permohonan daripada Persatuan Hospital Swasta Malaysia dan kebenaran pemberian akan diberikan kepada hospital swasta, untuk berunding pembelian vaksin terus dengan pembekal.

“Saya sebagai perunding pihak kerajaan bagi pemberian vaksin, saya tahu bahawa pasaran vaksin sekarang ini sangat-sangat terhad, dan kalau mereka (hospital swasta) dapat pun mungkin penghantaran hujung tahun ini atau tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin di Kompleks Masyarakat Penyayang, di sini pada Khamis.

Beliau berkata, kebenaran itu turut diberikan kepada mana-mana kerajaan negeri yang berminat untuk berunding pembelian vaksin, terus dengan pembekal.

“Percayalah saya, mereka tidak akan mendapat vaksin sehingga hujung tahun ini atau awal tahun depan. Ini kerana semua vaksin yang diluluskan seperti vaksin Pfizer-BioNTech hanya dijual kepada kerajaan negara, vaksin AstraZeneca penghantaran kita mula Jun, manakala vaksin Sinovac kita dapat hanya dikilang di Malaysia,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pihak yang ingin menempah terus dengan pembekal vaksin supaya tidak menaruh harapan tinggi untuk mendapat vaksin dengan cepat.

Sementara itu, Khairy berkata, pihaknya sedang mengkaji dengan pihak KKM dan Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin untuk memberi kemudahan kepada mereka yang telah terima dua dos vaksin.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata setakat ini, jumlah pendaftaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan telah melepasi 7.5 juta bersamaan dengan 30 peratus sasaran negara.

“Kita sedang melihat peningkatan yang agak stabil dan saya yakin apabila kita mula fasa kedua pada 19 April, kita akan lihat lebih ramai yang mendaftar,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!