Teknologi AI tidak akan ambil alih peranan manusia

Lih Kang menyampaikan ucapan ketika Majlis Perasmian Stem Showcase '23 di Sekolah Menengah Persendirian Han Chiang pada Jumaat.
Lih Kang menyampaikan ucapan ketika Majlis Perasmian Stem Showcase '23 di Sekolah Menengah Persendirian Han Chiang pada Jumaat.
A
A
A

GEORGETOWN - Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) tidak akan mengambil alih atau menggantikan peranan manusia sebaliknya akan memudahkan dalam segi pekerjaan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, bagaimanapun, teknologi itu akan mewujudkan pekerjaan baharu yang memerlukan set kemahiran teknologi tinggi.

Menurutnya, oleh itu, orang ramai tidak perlu bimbang dengan pengenalan teknologi baharu seperti AI, Internet Kebendaan (IoT) dan robotik.

"Teknologi tidak akan mengambil alih pekerjaan manusia tetapi ia akan mengurangkan kerja intensif buruh.

"Ia juga akan mewujudkan keperluan untuk pekerja berkemahiran tinggi kerana kita memerlukan orang untuk menguruskan sistem penyelenggaraan AI, IoT dan sebagainya," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian STEM Showcase '23 di Karnival Minggu Sains Negara 2023 Peringkat Pulau Pinang pada Jumaat.

Majlis perasmian tersebut disempurnakan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow di Sekolah Menengah Persendirian Han Chiang di sini.

Lih Kang berkata, negara kini memberi tunpuan kepada sukatan pelajaran yang baharu merangkumi teknologi AI, pengekodan dan robotik.

"Sebelum ini tumpuan diberikan kepada batu bata dan mortar tetapi kini, tumpuan harus diberikan kepada sukatan pelajaran baharu yang merangkumi teknologi-teknologi tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Sebab itu kementerian memberi tumpuan untuk memupuk minat dalam STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik) dalam kalangan pelajar bagi melahirkan generasi akan datang sebagai pekerja berkemahiran tinggi.

"Susulan itu, MOSTI sedang bekerjsama dengan Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Sumber Manusia untuk menubuhkan satu jawatankuasa bersama bagi mempromosikan lagi pendidikan STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik)," katanya.

Dalam pada itu, Lih Kang mengumumkan peruntukan RM100,000 kepada Penang Tech Dome untuk meneruskan peranannya dalam mempromosikan bidang sains, teknologi dan inovasi (STI).

"Kementerian menyokong penuh program yang memupuk minat dalam STI seperti yang dijalankan oleh Penang Tech Dome," katanya.

Sementara itu, Lih Kang berkata, MOSTI mensasarkan seramai 1.7 juta pengunjung terutama pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi menghadiri dan menyertai Karnival Minggu Sains Negara (MSN) 2023 yang dilaksanakan sepanjang tahun ini di seluruh negara.

Katanya pihaknya optimis sasaran itu mampu dicapai dan menarik minat kehadiran orang ramai kerana setiap aktiviti yang diadakan menggunakan kaedah praktikal (hands-on) yang melibatkan pengamal serta pakar sains dan teknologi.

“Tahun ini merupakan tahun keenam karnival ini dilaksanakan, jadi kami percaya pada tahun ini akan mencapai lebih lagi dan kami memberi fokus kepada tujuh bidang utama antaranya Kesihatan Planet, Kimia dan Bioteknologi, Inovasi Sosial, Kejuruteraan, Nanoteknologi dan Angkasa," katanya.

Katanya pelaksanaan Karnival MSN 2023 itu juga selaras dengan Pelan Tindakan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021-2030.

“Ia juga diteruskan secara dalam talian dengan kerjasama di antara jabatan serta agensi di bawah kementerian, institut pengajian tinggi, syarikat swasta dan persatuan melibatkan program seperti webinar dan forum,” katanya.