Show-Tech MARDI pamer lebih 300 teknologi, inovasi pertanian

Mohamad Zabawi (tengah) bersama wakil rakan-rakan strategik yang bakal menjayakan Show-Tech MARDI 2023.
Mohamad Zabawi (tengah) bersama wakil rakan-rakan strategik yang bakal menjayakan Show-Tech MARDI 2023.
A
A
A

SERDANG - Lebih 300 teknologi sedia dikomersialkan dan dipindahkan kepada industri bakal dipamer pada Showcase Teknologi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Show-Tech MARDI 2023) bulan depan.

Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, pameran tersebut bakal menjadi platform terbaik kepada masyarakat khususnya pemain industri untuk memahami teknologi dan inovasi pertanian yang dibangunkan agensi berkenaan sejak 50 tahun lalu.

Bertemakan 'Peneraju Inovasi Agroteknologi', Mohamad Zabawi menjelaskan, pameran berkenaan bertepatan dengan mandat MARDI dalam menjalankan penyelidikan bagi menghasilkan teknologi dan inovasi pertanian untuk mengukuhkan agenda keterjaminan makanan negara.

Mohamad Zabawi
Mohamad Zabawi

"Pada masa sama, masyarakat dan pemain industri boleh bertemu dengan penyelidik MARDI bagi memberi input serta maklum balas penambahbaikan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam penghasilan teknologi yang dibangunkan.

"Pameran ini akan memberi fokus kepada enam kluster utama bidang penyelidikan iaitu tanaman, ternakan, makanan, pemindahan teknologi, agrotourism dan mekanisasi," katanya pada sidang media selepas taklimat Show-Tech MARDI 2023 pada Isnin.

Dalam pada itu Mohamad Zabawi memaklumkan, kali terakhir pameran sedemikian dianjurkan adalah pada tahun 2004 dan selepas 19 tahun, ia akan melibatkan pelbagai teknologi dan inovasi pertanian mengikut peredaran zaman.

Selain pameran dalam dewan, beliau berkata, pengunjung turut berpeluang melihat secara lebih dekat plot tanaman sayuran, bijirin dan buah-buahan menggunakan teknologi tinggi.

"Lebih menarik, pengunjung juga boleh melawat kilang tanaman, laman sayuran serta melihat sistem tanaman bertingkat.

"Saya berharap masyarakat di luar sana akan lebih terdedah kepada apa yang disumbangkan oleh MARDI bagi menjayakan sektor pertanian negara, bertepatan dengan hasrat kerajaan dalam memastikan bekalan dan sumber makanan dapat diakses," ujarnya.

Show-Tech MARDI 2023 akan berlangsung pada 25 hingga 27 Ogos depan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, bermula 10 pagi hingga 10 malam dan masuk adalah percuma.