'PAU 2020 tidak putuskan pemimpin dalam kerajaan letak jawatan'

Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan menentukan sama ada pemilihan parti itu bakal diteruskan pada tahun ini atau ditangguhkan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan yang dibuat itu juga mengikut landasan perlembagaan parti.

Menurutnya, walaupun sudah sampai tempoh pemilihan tetapi tempoh penangguhan sehingga 18 bulan dibenarkan.

"Masa untuk adakan pemilihan ada dalam perlembagaan parti selepas tempohnya berakhir, tetapi dalam masa yang sama MKT mempunyai kuasa untuk menangguhkan.

“Apa sahaja yang bakal berlaku, ia bergantung kepada MKT. Kita tunggu sahaja pengumuman yang bakal dibuat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Pingat Perkhidmatan & Pekerti Terbilang Kementerian Pertahanan Tahun 2021 di sini pada Khamis.

Sementara itu, menyentuh mengenai kerjasama UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional (MN), Ismail Sabri berkata, hubungan kedua-dua parti itu berada dalam keadaan baik.

“Malah dalam usul Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang lalu, parti menyatakan bahawa kerjasama itu perlu diperkukuhkan lagi.

“Seperti biasa setiap dua minggu sekali jawatankuasa MN akan bermesyuarat bersama dan hubungan dengan Pas baik di peringkat akar umbi berlaku seperti biasa. Kita percaya pada Ramadan nanti akan lebih banyak program dijalankan bersama,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ismail Sabri juga menjelaskan bahawa menteri dan timbalan menteri daripada UMNO akan terus kekal dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga Parlimen dibubarkan.

"Sebenarnya tidak ada keputusan dalam PAU 2020 yang mengarahkan menteri, menteri besar, timbalan menteri, exco dan ketua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menarik diri.

"Dalam PAU 2020 itu usul yang diluluskan adalah usul keputusan MKT untuk terus kekal dalam kerajaan sehingga Parlimen dibubarkan. Kita akan terus sokong kerajaan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Apabila Parlimen dibubarkan, kita tidak akan bekerjasama lagi. Itu usul yang diluluskan dalam PAU 2020," katanya.

Ditanya mengenai kenyataan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang mendakwa menteri daripada parti itu yang tidak meletakkan jawatan sebagai pengecut, Ismail Sabri berkata, dalam UMNO semua pihak berhak untuk menyatakan pandangan dan menghormati kenyataan yang dibuat.