'Ramai wakil rakyat pembangkang mahu lompat tapi tak berani'

Fat Full (kiri) ketika beramah mesra dengan penerima pada majlis penyampaian cek peruntukan Covid-19 kepada 26 NGO di Ulu Tiram, Johor Bahru pada Khamis.
Fat Full (kiri) ketika beramah mesra dengan penerima pada majlis penyampaian cek peruntukan Covid-19 kepada 26 NGO di Ulu Tiram, Johor Bahru pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemanis, Dr Chong Fat Full yang keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) tahun lalu untuk menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) mendakwa, ramai wakil rakyat pembangkang mahu melompat parti tetapi tidak berani bertindak sedemikian.

Beliau yang kini menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, ramai ahli Parlimen atau ADUN yang berhasrat mengambil langkah sama kerana sedar mahu jadi wakil rakyat terbaik adalah dengan menyertai kerajaan sedia ada.

Menurutnya, wakil rakyat pembangkang sedar platform terbaik untuk berkhidmat kepada rakyat adalah dengan menyokong kerajaan PN.

"Secara peribadi saya ada banyak berbincang dengan kawan-kawan ahli Parlimen atau ADUN. Ramai tahu kalau ada platform, ada peruntukan dan sumber mereka dapat bantu rakyat lebih.

"Cuma dunia ini tiada ubat berani. Kalau ada ubat berani saya rasa sudah ramai lompat.

"Mereka semua tahu arah tuju pembangkang sekarang dan masalah dalaman dihadapi, cuma tidak berani (lompat parti)," katanya kepada pemberita ketika majlis penyampaian cek peruntukan Covid-19 kepada 26 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Dataran Muafakat Ulu Tiram di sini pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: ADUN Pemanis umum keluar PKR

Pada 28 Februari lalu, Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon dan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien menyatakan sokongan kepada kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sekali gus meninggalkan PKR.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Larry Sng sahkan keluar PKR

Dua ahli Parlimen PKR serah akuan sumpah sokong kerajaan PN

Keluar PKR sokong PN untuk selesaikan isu rakyat

Sementara itu, Fat Full yang juga Exco Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor berkata, keputusan Steven Choong meninggalkan PKR dan menyokong PN adalah sama sepertinya.

Beliau juga mengakui ada bertemu Ahli Parlimen Tebrau itu pada Rabu.

"Saya memuji tindakannya kerana untuk berbuat demikian perlu ada semangat yang kental. Kalau tidak, tak boleh tahan orang bercakap-cakap.

"Tindakan wakil rakyat (pembangkang) yang menyokong kerajaan akan beri manfaat kepada pengundi. Itu yang diutamakan Steven Choong. Saya yakin beliau sudah memikirkan tentang perkara itu," katanya.