ADUN Pemanis umum keluar PKR

Dr Chong Fat Full
Dr Chong Fat Full
A
A
A

KOTA ISKANDAR - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemanis, Dr Chong Fat Full mengumumkan keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menjadi ADUN Bebas.

Beliau turut mengumumkan menyokong gabungan baharu kerajaan Johor yang terdiri daripada parti Barisan Nasional (BN), Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.

Pengumuman itu dibuat Fat Full dalam sidang akhbar khas yang dipengerusikan Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad di Pejabat Menteri Besar Johor di sini petang tadi.

Fat Full berkata, beliau sudah menandatangani surat akuan bersumpah menyokong gabungan baharu di bawah kepimpinan Ir Hasni pagi tadi.

Menurutnya, keputusan keluar PKR dibuat pagi tadi setelah mengambil kira pandangan keluarga, rakan-rakan dan penyokong terutama di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pemanis.

"Dengan ini saya isytiharkan keluar PKR dan jadi ADUN Bebas serta menyokong gabungan baharu di bawah Hasni.

"Saya orang profesional dan akan tetap akan jadi tetap profesional. Dalam keadaan politik tidak stabil sekarang bukan mudah untuk buat keputusan ini, lebih-lebih lagi saya sudah lama dalam PKR," katanya.

Artikel Berkaitan:

Hasni (tengah) dan Fat Full (tiga dari kanan) bersama barisan ADUN Gabungan Baharu negeri Johor selepas sidang akhbar di Kota Iskandar petang tadi.
Hasni (tengah) dan Fat Full (tiga dari kanan) bersama barisan ADUN Gabungan Baharu negeri Johor selepas sidang akhbar di Kota Iskandar petang tadi.

Ditanya sama ada beliau ada menerima tekanan, Fat Full menegaskan keputusan tersebut tidak berpaksi kepada mana- mana pihak tetapi dilakukan untuk kesejahteraan rakyat Johor.

"Saya tidak menerima sebarang tawaran atau jawatan. Saya buat dengan rela hati.

"Saya masuk politik sebab hendakkan platform berkhidmat kepada rakyat. Jika sebagai doktor gigi saya cuma bagi khidmat kepada 20,000 orang tetapi sebagai wakil rakyat lebih ramai rakyat saya bantu," katanya yang sudah lebih 30 tahun menjadi doktor gigi.

Ketika diminta penjelasan mengenai bayaran RM10 juta kepada PKR, ADUN Pemanis itu bagaimanapun tidak pasti dengan sebarang pembayaran yang perlu dijelaskan beliau.

Semalam media melaporkan ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis perlu membayar RM10 juta kepada PKR kerana keluar daripada parti itu walaupun setakat ini belum ada perisytiharan rasmi.

Pengerusi PKR Melaka, Datuk Halim Bachik berkata, bayaran itu berdasarkan perjanjian antara semua ADUN dan Ahli Parlimen PKR ketika mereka dipilih sebagai calon mewakili parti itu dalam Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada Mei 2018.