Larry Sng sahkan keluar PKR

LARRY SNG WEI SHIEN
LARRY SNG WEI SHIEN
A
A
A

KUCHING - Ahli Parlimen Julau Larry Sng Wei Shien hari ini mengesahkan beliau keluar daripada PKR berkuat kuasa serta-merta.

Larry berkata keputusan itu yang dibuat selepas berbincang dengan pengundi di kawasannya sejak beberapa hari lalu, didasari beberapa faktor antaranya ketidakstabilan politik di negara ini yang menjejaskan ekonomi negara dan juga kesejahteraan rakyat.

“Saya percaya langkah terbaik untuk mara ialah mengetepikan politik buat masa ini agar kita dapat membantu menstabilkan dan membina semula negara tercinta ini bersama-sama.

“Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sedang melakukan segala yang perlu bagi membantu rakyat Malaysia mengharungi tempoh sukar ini dan saya percaya saya juga perlu memainkan peranan saya dengan menyokong beliau.

"Sudah banyak masa terbuang kerana bermain politik dan bertelingkah sesama sendiri sedangkan rakyat menderita,” katanya dalam kenyataan di sini.

Terdahulu hari ini, Muhyiddin dalam hantaran menerusi laman Facebook beliau berkata, Larry dan Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong Shiau Yoon menyerahkan akuan bersumpah menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu, Larry berkata, Julau, kawasan yang diwakilinya di Sarawak, merupakan kawasan termiskin di negara ini dan rakyat di kawasan tersebut menghadapi keperitan hidup berikutan penularan pandemik Covid-19.

“Saya tidak dapat berkhidmat kepada rakyat di Julau dengan berkesan kerana ketiadaan dana pembangunan yang amat diperlukan. Menerusi keputusan yang dibuat hari ini, saya yakin dapat menunaikan janji pilihan raya saya kepada pengundi.

“Saya memenangi pilihan raya 2018 sebagai calon Bebas dan hari ini saya mengisytiharkan diri sebagai wakil Bebas mesra kerajaan,” katanya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN Dua ahli Parlimen PKR serah akuan sumpah sokong kerajaan PN

Artikel Berkaitan: