YBR peruntuk RM2 juta sumbang bantuan persekolahan

Nazir Hussin (tiga dari kanan) bersama ADUN Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail (tiga dari kiri) pada Program Kembali Ke Sekolah YBR di Pejabat ADUN Sungai Air Tawar, Bagan Nakhoda Omar di sini pada Khamis.
Nazir Hussin (tiga dari kanan) bersama ADUN Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail (tiga dari kiri) pada Program Kembali Ke Sekolah YBR di Pejabat ADUN Sungai Air Tawar, Bagan Nakhoda Omar di sini pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Bank Rakyat (YBR) memperuntukkan kira-kira RM2 juta bantuan persekolahan kepada 14, 450 murid sekolah rendah dan menengah sempena Program Kembali ke Sekolah di seluruh negara.

Pengerusinya, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, sebanyak 148 lokasi akan menerima agihan bantuan itu secara berperingkat sepanjang tahun ini.

"Penyerahan bantuan kembali ke sekolah di DUN (Dewan Undangan Negeri) Sungai Air Tawar menjadi lokasi kelapan dan selepas ini majlis penyerahan akan diteruskan di lokasi lain seperti di Kota Melaka, Bagan Serai dan Tambun," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Kembali Ke Sekolah YBR di Pejabat ADUN Sungai Air Tawar, Bagan Nakhoda Omar di sini pada Khamis.

Sebanyak RM20, 000 diperuntukan kepada 200 murid sekolah rendah dan menengah di DUN Sungai Air Tawar pada program berkenaan.

Nazir Hussin berkata, bantuan persekolahan RM100 bagi pembelian set baju, kasut dan stoking itu disumbangkan kepada setiap pelajar dalam kalangan keluarga B40 yang sudah dikenal pasti di setiap kawasan terpilih.

"Diharapkan ia dapat mengurangkan beban keluarga dalam menyediakan keperluan persekolahan anak bagi sesi baru selepas Perintah Kawalan Pengerakan (PKP) 2.0 sehingga 4 Mac depan," katanya.

Dalam pada itu, katanya, YBR turut mengambil inisiatif untuk menaja program tuisyen percuma di DUN Sungai Air Tawar.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pihaknya sedang merangka inisiatif itu bagi memberi manfaat kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan terutamanya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di DUN berkenaan.

"Konsep perlaksanaan tuisyen ini nanti bergantung kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sabak Bernam mengikut kesesuaian sama ada dijalankan dalam talian atau secara bersemuka.

"Kita akan dapatkan maklumat berkaitan terlebih dahulu daripada PPD Sabak Bernam dan kita akan merangka program bersesuaian bagi memenuhi keperluan pelajar di sini," katanya.