Peruntuk RM3 juta dalamkan pelabuhan LKIM Chendering

Laporan Sinar Harian pada Ogos tahun lalu.
Laporan Sinar Harian pada Ogos tahun lalu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi melaksanakan projek mendalamkan Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Chendering, di sini yang dijangka bermula pada tahun ini.

Exco Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, peruntukan yang diluluskan dalam Belanjawan Terengganu 2023 itu merupakan inisiatif diambil bagi mengatasi masalah muara cetek dan mendapan pasir yang dialami golongan nelayan di pelabuhan itu.

"Pelabuhan ini sebenarnya di bawah kerajaan persekutuan iaitu di bawah LKIM, namun kita sedia untuk ambil inisiatif ini bagi membantu nelayan-nelayan kita yang terkesan dengan situasi di pelabuhan tersebut.

"Jadi kita ambil langkah dalamkan laluan bagi membolehkan lebih banyak bot boleh masuk mendaratkan ikan di pelabuhan itu," katanya.

Beliau berkata, ketika ini, proses teknikal sedang dijalankan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berhubung perancangan untuk mendalamkan laluan di situ.

Jelas beliau, isu mengenai pelabuhan cetek di LKIM Chendering telah mendapat perhatian kerajaan negeri sejak 2018 di mana keadaan itu telah menjejaskan aktiviti nelayan dan mengurangkan jumlah pendaratan ikan di Terengganu.

"Kerajaan negeri bersama LKIM Terengganu telah mengemukakan kertas cadangan menaik taraf dan pembangunan semula pelabuhan itu kepada menteri bertanggungjawab ketika itu iaitu Datuk Seri Dr Ronald Kiande.

"Cadangan itu telah dibawa kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri dengan anggaran keperluan peruntukan RM192 juta," katanya.

Menurut Azman, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu baru-baru ini memaklumkan peruntukan RM192 juta yang dimohon sebelum ini telah diluluskan oleh EPU.

"Disebabkan sehingga kini isu itu masih lagi berlarutan, kerajaan negeri lihat perlu adanya langkah awal diambil untuk mengatasi masalah itu dengan memperuntukkan sebanyak RM3 juta.

"Daripada peruntukan RM3 juta itu, kita akan lakukan kerja-kerja mengorek alur laluan pelayaran bagi memudahkan bot-bot nelayan keluar dan masuk di pelabuhan itu.

"Kita juga berharap supaya kerajaan pusat dapat mempercepatkan projek menaik taraf pemecah ombak dan infrastruktur di pelabuhan seperti yang telah diumumkan sebelum ini bagi melaksanakan kerja-kerja naik taraf infrastruktur pelabuhan dan benteng pemecah ombak" katanya.