Hujan luar biasa punca banjir di Manjoi, Buntong

IPOH – Hujan luar biasa dengan taburan melebihi 80 milimeter (mm) dikenal pasti sebagai punca utama kejadian banjir di beberapa kawasan di daerah Kinta pada Isnin.
Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, hujan sangat lebat yang melanda kawasan hulu Sungai Kinta dan Sungai Pari merekodkan jumlah taburan sebanyak 83.5mm.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan paras air sungai meningkat secara mendadak melebihi dua meter dalam tempoh kurang dua jam.
"Paras air tertinggi direkodkan di Stesen Aras Air Sungai Kinta di Kuala Pari ialah 32.04 meter pada jam 8.15 malam sebelum menunjukkan trend penurunan kepada 29.99 meter setakat jam 2.10 petang pada 17 Februari.
"Kejadian ini telah menyebabkan limpahan Sungai Pari ke kawasan penempatan rendah dan berisiko khususnya di sekitar Manjoi dan Buntong serta beberapa kawasan berhampiran Sungai Pari termasuklah Taman Hock Aun dan Jalan Kuala Kangsar dengan kedalaman banjir antara 0.3 hingga 0.6 meter," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mohammad Nizar berkata, selain faktor hujan luar biasa, halangan aliran air di Jambatan Jalan Raja (Pintu Gerbang) akibat paras soffit jambatan yang rendah turut dikenal pasti menyumbang kepada limpahan air.
Katanya, susulan kejadian itu sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Kampung Tengku Hussein, Manjoi bermula jam 5 petang pada 17 Februari bagi menempatkan 10 keluarga melibatkan 26 mangsa yang masih belum dapat pulang ke kediaman masing-masing.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri akan melaksanakan beberapa tindakan bagi menangani isu berkenaan secara menyeluruh.
Jelasnya, bagi langkah jangka pendek, penyelenggaraan kolam takungan banjir, pam kawalan banjir dan ‘flap gate’ akan dipertingkat bagi memastikan sistem berfungsi secara optimum.
"Langkah jangka panjang pula melibatkan pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kinta Fasa 2, menaiktaraf Jambatan Jalan Raja (Pintu Gerbang), kerja pelebaran dan pendalaman Sungai Pari serta menaiktaraf sistem saliran dalaman kawasan perkampungan oleh agensi berkaitan.
"Kerajaan negeri komited memastikan keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan dan segala usaha mitigasi serta penambahbaikan infrastruktur akan dipercepatkan bagi mengurangkan risiko kejadian berulang," katanya.
Sementara itu, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Kampung Tengku Hussein, Manjoi berkurangan sehingga jam 8 pagi ini.
Berdasarkan maklumat dikongsikan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kinta, seramai 11 mangsa melibatkan lima keluarga masih belum pulang ke rumah masing-masing.
Ringkasan AI
- Hujan lebat melebihi 80mm adalah punca utama banjir di daerah Kinta
- Hujan menyebabkan paras air sungai meningkat dua meter dalam kurang dua jam
- Limpahan Sungai Pari ke kawasan rendah seperti Manjoi dan Buntong menyebabkan banjir
- Sebuah pusat pemindahan sementara dibuka untuk menampung 26 mangsa banjir
- Kerajaan negeri akan melaksanakan langkah jangka pendek dan panjang untuk mengatasi banjir
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

