Pemuda Pas bantah rampasan reruai Street Dakwah di Bukit Bintang

KUALA LUMPUR – Pemuda Pas membantah keras tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap reruai Street Dakwah anjuran Multiracial Reverted Muslims (MRM) di Bukit Bintang, petang semalam.
Pengerusi Lajnah Dakwah & Pembelaan Islam, Pemuda Pas Malaysia, Mohamed Sukri Omar, berkata tindakan menghantar 12 pegawai untuk menutup dan merampas bahan dakwah ketika hanya seorang sukarelawan bertugas menimbulkan persoalan besar dari sudut kewajaran, keutamaan penguatkuasaan dan prinsip keadilan pentadbiran.
Menurutnya, aktiviti Street Dakwah itu telah berlangsung selama 14 tahun di lokasi berkenaan secara aman dan terbuka.
“Ia bukan aktiviti jual beli, bukan program politik dan tidak mengganggu lalu lintas. Bahkan sebelum ini pihak penganjur pernah mendapatkan maklum balas bahawa tiada keperluan permit kerana tiada unsur komersial dan tiada halangan kepada orang awam,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, sekiranya benar terdapat polisi baharu yang mewajibkan permit, perkara itu sepatutnya dimaklumkan secara jelas, bertulis dan berperingkat, bukannya dilaksanakan secara mengejut dengan tindakan rampasan.
Tambahnya, pada minggu sebelumnya, aktiviti yang sama berlangsung tanpa sebarang teguran daripada pihak berkuasa.
Mohamed Sukri turut memaklumkan bahawa hanya reruai dakwah MRM dirampas, sedangkan terdapat aktiviti lain di sekitar kawasan berkenaan yang melibatkan peletakan barangan dan jualan.
“Jika semua pihak lain memiliki permit, maka jelaskan kepada umum supaya tidak timbul persepsi penguatkuasaan terpilih. Jika tidak, maka prinsip keadilan menuntut tindakan yang konsisten terhadap semua,” ujarnya.
Menurut beliau, MRM merupakan organisasi yang patuh undang-undang dan bersedia memohon permit sekiranya diperlukan serta membayar kompaun jika dikenakan.
“Pendekatan kami jelas, hormati undang-undang dan institusi,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan dakwaan terdapat pihak yang mempunyai hak mengurus kawasan tersebut dan merancang menyewakannya kepada pihak lain.
“Jika benar kawasan pejalan kaki awam diserahkan kepada pihak ketiga untuk tujuan komersial, maka DBKL wajar menjelaskan dasar dan mekanismenya agar tidak menjejaskan hak penggunaan awam secara adil,” ujarnya.
Beliau menegaskan dakwah secara aman adalah hak yang dijamin dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan selagi tidak menggugat ketenteraman awam.
Tegasnya, pendekatan keras terhadap aktiviti dakwah yang bersifat sukarela dan tidak komersial boleh menimbulkan persepsi tidak sihat dalam masyarakat.
“Saya tidak mahu membuat tuduhan melulu. Saya percaya DBKL adalah institusi profesional," ujarnya.
Sehubungan itu, Mohamed Sukri menggesa agar penjelasan rasmi diberikan kepada umum dan ruang dialog dibuka segera supaya isu ini dapat diselesaikan secara matang, berwibawa dan berlandaskan prinsip keadilan.
“Undang-undang mesti ditegakkan secara konsisten. Penguatkuasaan mesti bebas daripada persepsi pilih kasih. Dan ruang dakwah yang aman tidak wajar dilihat sebagai ancaman. Saya menuntut DBKL dan Menteri Wilayah memberi penjelasan segera,” tambahnya.
Sementara itu, pihak Sinar Harian pada Rabu telah menghubungi DBKL bagi mendapatkan maklum balas berhubung tindakan berkenaan dan sedang menunggu jawapan rasmi daripada pihak berkuasa tempatan itu.
Ringkasan AI
- Pemuda Pas bantah tindakan DBKL terhadap reruai Street Dakwah anjuran Multiracial Reverted Muslims di Bukit Bintang
- Aktiviti dakwah selama 14 tahun itu dianggap aman, bukan jual beli atau politik dan tidak menghalang orang awam
- Tindakan DBKL yang mengejut tanpa notis atau makluman berperingkat tentang keperluan permit dipertikaikan
- Hanya reruai dakwah MRM dirampas, sedangkan aktiviti lain yang serupa di sekitar itu tidak terganggu
- Mohamed Sukri dari Pemuda Pas menuntut penguatkuasaan undang-undang yang konsisten dan adil dari DBKL
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

