Murid sekolah agama Johor dibenar pakai pakaian sukan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Murid sekolah agama kerajaan Johor dibenarkan mengenakan pakaian sukan dan sopan semasa cuaca panas ketika ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, kelonggaran itu diberikan agar murid selesa sekali gus dapat fokus di bilik darjah.

"Surat pekeliling tentang kebenaran murid Sekolah Agama di Johor berpakaian sukan ke sekolah sudah pun dikeluarkan.

"Pakai sebarang pakaian sukan atau apa pun yang kemas dan menutup aurat," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di Arena Larkin di sini, pada Khamis.

Turut hadir, Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman.

Pada 3 Mei lalu, murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana di semua institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan (KPM) diberi kebenaran khas untuk memakai pakaian atau baju sukan yang sopan semasa cuaca panas bagi mengelakkan sebarang komplikasi kepada kesihatan.

Mohd Fared menambah, sebarang aktiviti luar bilik darjah termasuk perhimpunan juga adalah tidak digalakkan atau lebih baik dielakkan daripada dilaksanakan.

"Kita pun sama tidak galakkan semua aktiviti luar, bahkan perhimpunan pun sangat tidak digalakkan atau sebaik-baiknya tidak diadakan tanpa keperluan yang mendesak," katanya.