ICC bakal siasat jenayah perang dilakukan rejim Zionis

ICC akan melancarkan siasatan jenayah perang terhadap kekejaman tentera rejim Zionis di Genting Gaza yang berada di bawah kepungan Tel Aviv sejak 2007 dan projek penempatan haram Yahudi di Tebing Barat. - Foto: Agensi
ICC akan melancarkan siasatan jenayah perang terhadap kekejaman tentera rejim Zionis di Genting Gaza yang berada di bawah kepungan Tel Aviv sejak 2007 dan projek penempatan haram Yahudi di Tebing Barat. - Foto: Agensi
A
A
A

THE HAGUE - Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengesahkan konflik Israel-Palestin berada di bawah bidang kuasa mereka yang akan membuka jalan kepada siasatan terhadap jenayah perang yang dilakukan sejak pendudukan rejim Zionis pada 1967.

"Perhimpunan Agung PBB menerusi Resolusi 67/19 menegaskan kembali hak penduduk Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan menjadi sebuah negara merdeka seperti ditetapkan di bawah Statut Rom," ujar ICC berpusat di The Hague dalam satu kenyataan yang memperincikan perkara itu menerusi dokumen setebal 60 muka surat pada Jumaat.

Keputusan itu dibuat selepas Ketua Pendakwa Raya ICC, Fatou Bensouda pada 2019 menyatakan terdapat alasan munasabah untuk melancarkan siasatan jenayah perang terhadap kekejaman tentera rejim Zionis di Genting Gaza yang berada di bawah kepungan Tel Aviv sejak 2007 dan projek penempatan haram Yahudi di Tebing Barat.

Sementara itu, Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh turut menyambut baik keputusan tersebut yang disifatkan sebagai kemenangan untuk keadilan, kemanusiaan dan kebebasan serta pembelaan kepada mangsa penindasan Israel.

Nabil Shaath yang merupakan pembantu kanan Presiden Mahmoud Abbas dalam satu kenyataan berasingan menyatakan keputusan ICC itu membuktikan penduduk Palestin mempunyai hak untuk mengemukakan tuntutan di mahkamah selepas ia menyertai ICC pada 2015.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pula mendakwa keputusan ICC itu kononnya menjejaskan usaha 'negara demokrasi' untuk mempertahankan hak mereka dalam berdepan ancaman keganasan selain menggelar mahkamah antarabangsa itu sebagai sebuah badan politik kerana berpihak kepada Palestin.

Israel menduduki Tebing Barat, Genting Gaza dan Baitulmaqdis selepas Perang Enam Hari pada 1967 yang menyaksikan kira-kira 700,000 pendatang Yahudi kini menetap di penempatan haram di wilayah terbabit. - AFP

Artikel Berkaitan: