PDRM digesa siasat pihak 'tekan' SPRM kaitkan Hamzah dengan kes mahkamah

Ahmad Ikhwan bercakap dalam sidang akhbar selepas membuat laporan polis di IPD Dang Wangi susulan tindakan SPRM mengaitkan nama Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam pertuduhan ke atas seorang penama, Sim Choo Thiam. - Foto SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID
Ahmad Ikhwan bercakap dalam sidang akhbar selepas membuat laporan polis di IPD Dang Wangi susulan tindakan SPRM mengaitkan nama Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam pertuduhan ke atas seorang penama, Sim Choo Thiam. - Foto SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa untuk menjalankan siasatan terhadap mana-mana pihak yang disyaki mencampuri dan menekan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Setiausaha Sulitnya, Ahmad Ikhwan Fadhli berkata, ia kerana Ahli Parlimen Larut itu tidak pernah terbabit dengan sebarang usaha mendapatkan suapan.

Jelasnya, laporan polis juga telah dibuat bagi membersihkan nama Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tersebut.

"Tujuan utama laporan ini bagi menggesa mana-mana pihak yang mencampuri atau menekan SPRM atau badan kerajaan untuk mengait dan mencemarkan nama baik Hamzah dalam pertuduhan yang telah disebut di mahkamah pada hari Rabu lepas," ketika ditemui media di hadapan Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal turut mempersoal tindakan mengaitkan nama Ketua Pembangkang tersebut dalam kes berkenaan.

Ujar beliau, tuduhan tersebut dilihat pelik memandangkan Hamzah telah pun didakwa di mahkamah.

"Jadi kami nampak tak lain tak bukan, semua pertuduhan dan pendakwaan ini adalah satu pembunuhan politik yang dibuat ke atas kepimpinan Bersatu kerana kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang takut tumbang dan kalah teruk di enam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang," katanya.

Dakwa Ahli Parlimen Machang itu, pimpinan tertinggi Bersatu menjadi sasaran pihak tertentu, meskipun beliau yakin kepimpinan parti itu tidak terkait dengan mana-mana salah guna kuasa.

"Sebab itu mereka menyasarkan kepimpinan tertinggi Bersatu khususnya Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

"Kami tidak takut dan gentar, kerana kami yakin kepimpinan Bersatu bersih dari sebarang hal-hal salah guna kuasa dan pecah amanah," tambahnya.