PKPB di Selangor dan Kuala Lumpur dilanjutkan

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur, Selangor dan Sabah serta beberapa lokaliti di negeri-negeri lain dilanjutkan sehingga 14 Januari 2021.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan dibuat selepas mendapat nasihat dan penilaian risiko daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berdasarkan trend dan peningkatan kes positif Covid-19 di kesemua kawasan berkenaan selain kewujudan kluster baharu di Kuala Lumpur.

Pelaksanaan PKPB di tiga negeri berkenaan dan beberapa lokaliti di negeri-negeri lain sebelum ini dijadualkan tamat pada 31 Disember.

Ismail Sabri berkata, bagi negeri Selangor, PKPB dilaksanakan di seluruh negeri itu termasuk Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Kuala Selangor yang sebelum ini diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Di negeri-negeri lain, PKPB turut dilanjutkan melibatkan Mukim 12 Barat Daya dan Mukim 13 Timur Laut di Pulau Pinang; Seremban, Negeri Sembilan serta Johor Bahru dan Batu Pahat, Johor.

Bercakap pada sidang akhbar perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini pada Isnin, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, kerajaan atas nasihat KKM turut membuat keputusan menamatkan PKPB di beberapa lokaliti pada hari ini iaitu lebih awal daripada dijadualkan pada 31 Disember susulan berlaku pengurangan kes di kawasan terbabit.

Antara lokaliti yang ditamatkan PKPB adalah Ipoh dan Chemor (Perak), Port Dickson (Negeri Sembilan) dan Kulai (Johor), katanya.

Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Ismail Sabri berkata, kerajaan memutuskan untuk melanjutkan perintah berkenaan di beberapa lokaliti sehingga 14 Januari termasuk di Depoh Tahanan Imigresen Langkap dan kuarters di Hilir Perak serta Penjara Kluang dan kuarters di Johor.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau berkata, kerajaan turut memutuskan untuk melaksanakan PKPD di Madrasah Daril Naim, Mukim Padang Halban, Daerah Peringat di Kota Bharu, Kelantan mulai Selasa sehingga 11 Januari 2021 selepas terdapat peningkatan mendadak kes positif Covid-19 di lokaliti itu.

"Sehingga 25 Disember, KKM telah melaksanakan sebanyak 99 saringan dan 29 disahkan positif Covid-19," katanya.

Beliau berkata, PKPD turut dilaksanakan di Kampung Paginatan dan Kampung Maringkan di Ranau, Sabah bermula Selasa sehingga 11 Januari 2021 atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM.

"Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk di kedua-dua lokaliti ini yang melibatkan seramai 865 orang penduduk," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga bersetuju untuk menamatkan PKPD di beberapa lokaliti antaranya Penjara Seremban dan Kuarters Penjara Seremban yang ditamatkan hari ini serta Kampung Desa Balau dan Kampung Dasar Baru di Lahad Datu, Sabah yang tamat esok.

Dalam pada itu, beliau berkata, 297 individu ditahan pada Ahad atas pelbagai kesalahan ingkar arahan prosedur operasi standard (SOP), dengan 294 daripadanya dikompaun manakala tiga lagi direman.

Antara kesalahan itu membabitkan aktiviti pusat hiburan (103), tidak memakai pelitup muka (95), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (75), gagal mematuhi arahan penjarakkan fizikal (21) dan lain-lain (tiga).

Mengenai Operasi Benteng, beliau berkata, seramai 22 pendatang asing tanpa izin dan empat tekong ditahan pada Ahad, manakala empat kenderaan darat dirampas dalam operasi yang diadakan di seluruh negara. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: PKPB di KL, Selangor, Sabah lanjut hingga 31 Disember