Penang, Kuala Lumpur City sama gagah di Bandaraya

Aksi Giovane Gomes (dua, kiri) semasa perlawanan Liga Super, Penang menentang Kuala Lumpur City di Stadium Bandaraya pada Khamis.
Aksi Giovane Gomes (dua, kiri) semasa perlawanan Liga Super, Penang menentang Kuala Lumpur City di Stadium Bandaraya pada Khamis.
A
A
A

PENANG FC dan Kuala Lumpur City berkongsi satu mata apabila kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Khamis.

Kuala Lumpur City tampil ke Pulau Pinang dengan misi melakar keputusan positif selepas kemenangan 2-1 ke atas Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur.

Penang pula memburu tonik semangat selepas ditundukkan penyandang juara Johor Darul Ta'zim (JDT), 0-2 di venue sama pada 3 Jun lalu.

Kegarangan anak buah Bojan Hodak menyerlah menerusi Tchetche Kipre yang mengejutkan benteng pertahanan tuan rumah apabila membuka jaringan buat pasukan pelawat pada minit ketujuh perlawanan.

Angkatan Manzoor Azwira yang tersentak dengan jaringan itu kembali memperkemaskan permainan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan Giovane Gomes pada minit ke-46.

Keputusan itu mengulangi pencapaian pusingan pertama yang menyaksikan The City Boys dan Harimau Kumbang terikat 2-2 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada 25 Februari lalu.

Gol Kuala Lumpur City dijaringkan Paulo Josue (m-14, m-71) manakala jaringan Penang dijelmakan Hadin Azman (m-73) dan Giovane Gomes (m-85).

Keputusan seri itu menyaksikan Kuala Lumpur City kini menduduki tangga keenam liga dengan 22 - enam menang, empat seri dan dua kalah - selepas mengharungi 13 perlawanan.

Sementara Penang pula di kedudukan ke-10 - empat menang, dua seri, tujuh tewas - selepas mengharungi 13 perlawanan liga.