Tiada lagi keluhan gangguan air di Selangor dan Kuala Lumpur

A
A
A

Projek penggantian paip lama oleh Air Selangor membantu penduduk yang terkesan dengan masalah tekanan air.
Projek penggantian paip lama oleh Air Selangor membantu penduduk yang terkesan dengan masalah tekanan air.

Masalah selesai dan tiada lagi keluhan atau aduan daripada penduduk di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur apabila isu gangguan air dihadapi mereka kini berakhir.

Ini berikutan pemasangan paip baharu menerusi dua projek yang dilaksanakan oleh Air Selangor bakal siap sepenuhnya pada tahun ini.

Penduduk Taman Mas, Putra Prima, Mohd Nazri Sohot, 48, berkata, sebelum ini dia menghadapi masalah tekanan air rendah setiap kali waktu pagi dan petang sehingga menyukarkan urusan seharian mereka.

“Masalah gangguan air ini berlaku sejak tahun 2021. Malah air bertambah kecil apabila semua orang berada di rumah pada waktu yang sama.

MOHD NAZRI
MOHD NAZRI

“Bagaimanapun selepas kerja-kerja pemasangan paip baharu, keadaan air di rumah sudah bertambah baik dan tak timbul lagi sebarang masalah gangguan air,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Dalam pada itu, Mohd Nazri turut berterima kasih kepada Air Selangor kerana bertindak pantas dalam menangani masalah gangguan air berkenaan.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada kakitangan Air Selangor yang bukan sahaja cekap malah bertindak segera untuk menangani masalah yang berlaku sekali gus memudahkan urusan penduduk,” ujarnya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Ir Abas Abdullah berkata, projek Kampung Lombong adalah salah satu inisiatif Air Selangor dalam usaha membantu pengguna yang terkesan dengan isu tekanan air rendah.

ABAS
ABAS

Ujarnya, pada masa ini, tekanan air terlalu rendah dan tidak mencukupi untuk membekalkan air ke bangunan dua tingkat tanpa menggunakan sistem pengepaman.

“Projek ini telah bermula pada November 2021 dan dijangka akan siap sepenuhnya pada Ogos 2023. Namun kemajuan projek telah mencapai 80 peratus setakat 25 Mac lepas.

“Projek penggantian dan menaiktaraf paip lama dengan paip baharu itu membabitkan peruntukan sebanyak RM 2.4 juta di mana sepanjang 2.1 kilometer sudah siap dilaksanakan,” jelasnya.

Kerja-kerja pemasangan paip baharu sedang dijalankan untuk kemudahan pengguna.
Kerja-kerja pemasangan paip baharu sedang dijalankan untuk kemudahan pengguna.

Menurut Abas, dengan pelaksanaan projek tersebut, penduduk juga akan mendapat manfaat melalui jalan yang akan dinaiktaraf dan dibaik pulih oleh Air Selangor.

Beliau berharap melalui pelaksanaan projek penggantian paip ini dapat mencapai objektifnya dalam membekalkan air bersih kepada pengguna sedia ada dan baharu di samping menambahbaik tekanan air yang ada.

Penduduk akui lega

Selain itu, penduduk Taman Midah, Law Keng Hong, 52, meluahkan rasa lega apabila masalah tekanan air rendah selesai selain tidak perlu risau untuk menadah air berikutan air mengalir terlalu kecil dan perlahan.

KENG HONG
KENG HONG

“Penduduk selalu merungut sebab air terlalu perlahan dan tiada air namun setelah adanya pemasangan paip baharu, sekarang sudah kembali normal dan tidak berlaku lagi kejadian gangguan bekalan air.

“Terima kasih Air Selangor kerana cepat bertindak selesaikan masalah ini,” katanya. Untuk masalah di Taman Midah, Abas memaklumkan kerja-kerja penggantian paip air di bawah Pakej 31 telah dijalankan dan projek penggantian paip berkenaan telah berjaya siap sepenuhnya pada Mac lepas.

Menurutnya, sepanjang 5.3 kilometer paip air lama telah berjaya digantikan dalam pakej berkenaan dengan anggaran kos sebanyak RM 5.5 juta.

Penduduk tidak hanya menerima manfaat bekalan air, malah jalan raya di kawasan mereka turut diturap.
Penduduk tidak hanya menerima manfaat bekalan air, malah jalan raya di kawasan mereka turut diturap.

Jelasnya, dengan kejayaan Pakej 31, pihaknya dapat mencapai misi Air Selangor untuk mengurangkan kadar air tak terhasil (NRW) di negeri ini.

“Hasil tinjauan mendapati penduduk untuk kelapan-lapan jalan tersebut telah melahirkan rasa gembira kerana dapat menikmati paip air baru di samping dapat meningkat tekanan air ke rumah.

“Penduduk juga dapat menikmati jalan turapan yang baru hasil daripada kejayaan kerja-kerja penggantian ini selari dengan moto Negeri Selangor iaitu ‘Selangor Maju Bersama’, kata Abas.