Bapa seorang tertuduh boleh 'tengok' siapa curi komputer riba

Zulfarhan Osman Zulkarnain
Zulfarhan Osman Zulkarnain
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang tertuduh yang didakwa mencederakan Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, bahawa bapanya mempunyai kebolehan untuk ‘tengok’ siapa yang mencuri komputer riba di universiti itu.

Muhammad Ashraf Abdullah, 24, berkata, rakannya yang juga bekas penuntut UPNM Mohd Syafiq Abdullah telah berjumpa dengannya dan memaklumkan bahawa sebuah komputer riba kepunyaan, Muhammad Akmal Zuhairi Azmal yang merupakan tertuduh pertama telah hilang.

“Syafiq meminta untuk bercakap dan meminta bantuan ayah saya, Haji Abdullah untuk ‘tengok’ kan siapakah yang mencuri komputer riba tersebut. Ada segelintir rakan-rakan yang tahu bahawa ayah saya ada sedikit ilmu berkaitan perkara ini.

“Syafiq turut memberitahu nama-nama orang yang disyaki iaitu Nazmi, Izzat Amir dan arwah Zulfarhan Osman. Saya bersetuju meminta bantuan ayah saya dan telah pulang ke bilik untuk membuat panggilan telefon,” katanya semasa membacakan penyataan saksi pada pada prosiding bela diri 18 pelajar UPNM terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan.

Dia yang kini bekerja sendiri berkata, selepas lebih kurang 30 minit ayahnya telah menelefon dan menyatakan bahawa kemungkinan Allahyarham Zulfarhan yang mengambil komputer riba tersebut, namun tiada apa-apa bukti yang diberikan ayahnya.

“Ayah saya juga sempat berpesan, supaya jangan mengambil sebarang tindakan memandangkan tiada ‘petunjuk’ yang jelas. Saya akur dengan nasihat ayah dan meminta Syafiq untuk turut akur,” katanya.

Ketika pemeriksaan balas Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim adakah ayahnya menyebut nama (Zulfarhan) saksi itu berkata, ayahnya ada menyebut nama (Zulfarhan) dan Mohd Syafiq tahu mengenai perkara itu kerana beliau membuat ‘loud speaker’ semasa perbualan telefon dengan ayahnya.

Semasa pemeriksaan semula oleh peguam, Ariff Azami Hussein mengenai mengapa tertuduh tidak membuat laporan kepada pihak berkuasa selepas mengetahui bahawa Zulfarhan disyaki mencuri komputer riba itu, Muhammad Ashraf berkata, beliau mengambil kira pesanan ayahnya supaya tidak membuat apa-apa tindakan kerana tiada bukti Allahyarham Zulfarhan yang mengambil komputer riba itu.

Artikel Berkaitan:

Dalam prosiding sebelum ini, Mohd Syafiq memberitahu mahkamah bahawa beliau yang mencadangkan kepada Muhammad Akmal Zuhairi supaya menggunakan khidmat pengamal perubatan tradisional sebagai ikhtiar mencari komputer ribanya yang hilang.

Mohd Syafiq yang juga saksi pendakwaan ke-25 itu memberitahu mahkamah bahawa cadangan itu juga timbul kerana beliau mengetahui bahawa bapa kepada Muhamad Ashraf Abdullah, tertuduh ke-18 yang dituduh mencederakan Zulfarhan Osman, dikatakan mempunyai ‘kelebihan’ mencari barang hilang.

Dalam prosiding 16 Mei 2018, bapa Muhamad Ashraf, Abdullah Md Seh, 56, yang merupakan saksi pendakwaan ke-13, memberitahu mahkamah bahawa beliau mendapat ‘petunjuk’ bahawa Zulfarhan Osman telah mencuri komputer riba dan petunjuk itu diperoleh melalui gerak hatinya serta melihat nama mangsa timbul di pandangannya.

Pada 31 Julai 2019, Mahkamah Tinggi memerintahkan 18 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan.

Lima tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mod Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri berdepan pertuduhan membunuh Zulfarhan, manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa bersubahat membunuh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara jam 4.45 pagi dan jam 5.45 pagi, 22 Mei 2017, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala Abdoul Hakeem didakwa mengikut Seksyen 109 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka bersama 12 lagi iaitu Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif, Muhammad Adib Iman dan Mohamad Syazwan, juga diperintah membela diri atas pertuduhan mencederakan mangsa.

Mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia telah mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi antara jam 2.30 pagi dan jam 5.30 pagi 21 Mei 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 28 Disember ini. - Bernama