'Bukan prosiding di Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan'

Laporan Sinar Harian 27 Mei lalu.
Laporan Sinar Harian 27 Mei lalu.
A
A
A

KUANTAN - Pertubuhan Peguam Syarie Negeri Pahang (PPSNP) menegaskan video kes seorang anak mualaf yang tular di media sosial sejak 26 Mei lalu bukan melibatkan prosiding Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan.

Pengerusi PPSNP, Mohd Rosli Yusoff menjelaskan, sebaliknya kes tersebut merupakan prosiding di Mahkamah Tinggi Kuantan.

"Saya tegaskan perkara ini memandangkan terdapat kekeliruan dalam kalangan orang ramai yang menyangka kes ini berlaku di Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan.

"Oleh kerana ibu kanak-kanak tersebut diwakili oleh peguam, pihak kami percaya bahawa peguam tersebut telah dan akan mengambil langkah- langkah yang sewajarnya bagi menjamin kepentingan, hak ibu serta kanak-kanak tersebut." katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada 27 Mei lalu, Sinar Harian menyiarkan artikel mengenai satu rakaman memaparkan seorang ibu dan anak yang berusia sembilan tahun terpaksa berpisah setelah Mahkamah Tinggi Kuantan memutuskan hak penjagaan kanak-kanak itu diserahkan kepada bapanya.

Perkongsian rakaman berdurasi 49 saat tular oleh pengguna di Facebook sangat menyayat hati apabila kanak-kanak tersebut merangkul erat tubuh ibunya sambil menangis teresak-esak kerana hari terakhir dia bersama ibu sebelum berada dalam jagaan ayahnya.

Mohd Rosli turut menyelar tindakan mana-mana pihak atau individu yang membuat sebarang bentuk tohmahan, komen dan spekulasi negatif yang tidak berasas terhadap mana-mana institusi kehakiman dan perundangan dalam negara ini sama ada sivil mahupun syariah.

"Pihak kami juga menyeru agar semua pihak berlapang dada dan menghormati proses serta sistem kehakiman dan undang-undang di negara ini," katanya.