Sindiket pelaburan bitcoin tumpas

Mazuki menunjukkan barang rampasan hasil serbuan di tiga premis yang dijadikan pusat sindiket bitcoin di daerah Kerian.
Mazuki menunjukkan barang rampasan hasil serbuan di tiga premis yang dijadikan pusat sindiket bitcoin di daerah Kerian.
A
A
A

BAGAN SERAI - Polis berjaya menumpaskan kumpulan sindiket pelaburan jual beli mata wang digital (bitcoin) selepas menangkap dua lelaki tempatan dalam serbuan di tiga premis di daerah Kerian semalam.

Serbuan bermula jam 10 pagi itu dilakukan selepas polis menerima aduan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang curiga dengan penggunaan elektrik tinggi dan melampaui had di tiga premis terbabit masing-masing di Bagan Serai, Simpang Lima dan Semanggol.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, serbuan di premis pertama berjaya menahan dua lelaki berusia 23 dan 24 tahun dan merampas pelbagai peralatan yang disyaki digunakan bagi menjalankan aktiviti melombong mata wang digital.

"Dua lagi premis kosong ketika serbuan dilakukan.

"Siasatan lanjut dijalankan kemudiannya berjaya mengesan terdapat sambungan elektrik secara haram dilakukan di dalam bangunan itu untuk digunakan bagi menjalankan aktiviti terbabit," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian di sini hari ini.

Menurutnya, dalam serbuan itu polis merampas 413 unit mesin wang digital, 13 unit modem WiFi, tiga kotak wayar internet dan sebuah komputer yang dianggarkan keseluruhan bernilai RM107,380.

"Semua barang rampasan telah dibawa balik ke IPD Kerian untuk siasatan lanjut dan polis akan mendapatkan perintah reman terhadap dua lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379 dan 427 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata, kumpulan sindiket itu dipercayai aktif menjalankan aktiviti tersebut sejak dua bulan lalu dengan menyewa premis berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, mereka melakukan penyambungan elektrik secara haram tanpa meter kononnya bagi mengelak dikesan pihak berkuasa bahawa premis tersebut kosong.

"Kecurian arus elektrik ini mengakibatkan TNB mengalami kerugian dianggarkan RM160,000," katanya.