Polis buru dua lelaki bersenjata parang samun kedai serbaneka

Dua lelaki berparang diburu dalam kejadian samun melibatkan sebuah kedai di Jalan Raja Mokhtar, Kapar di sini pada Rabu lalu.
Dua lelaki berparang diburu dalam kejadian samun melibatkan sebuah kedai di Jalan Raja Mokhtar, Kapar di sini pada Rabu lalu.
A
A
A

KLANG - Polis memburu dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kes samun bersenjatakan parang sebuah kedai serbaneka di Jalan Raja Mokhtar, Kapar di sini pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, kedua-dua suspek bertindak melarikan peti duit di kedai tersebut.

Menurutnya, menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek yang memakai topi keledar itu memasuki kedai dan melarikan peti duit yang berada di kaunter.

"Suspek yang bersenjatakan sebilah parang itu bertindak sedemikian ketika pekerja premis berkenaan mahu menutup operasi harian perniagaan," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Tambah beliau, siasatan awal mendapati suspek menunggang motosikal jenis Modenas Dinamik.

"Siasatan mendapati wang berjumlah lebih RM2,000 serta beberapa telefon bimbit milik pekerja kedai tersebut dilarikan.

"Usaha mengesan suspek terlibat sedang giat dijalankan," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Fazlan Rezza Mazlan di talian 011-10561017 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara (03-32912222) serta balai polis berdekatan," katanya.