Dua lelaki ditahan disyaki jual bintang, darjah kebesaran Pahang

Yahaya (tengah) menyaksikan penyerahan tugas Timbalan Ketua Polis Pahang daripada Mohd Yusri (kiri) kepada Noor Hisam (kanan) pada Isnin.
Yahaya (tengah) menyaksikan penyerahan tugas Timbalan Ketua Polis Pahang daripada Mohd Yusri (kiri) kepada Noor Hisam (kanan) pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN - Polis menahan dua lelaki yang disyaki terlibat dalam aktiviti penjualan bintang dan lencana darjah kebesaran negeri Pahang melalui platform e-dagang tanpa kebenaran.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, suspek yang berusia 40 dan 52 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berbeza, di Puchong, Selangor dan Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada 8 Ogos lalu.

Menurutnya, mereka sudah ditahan reman selama empat hari dari 9 hingga 12 Ogos lalu, sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

"Kita juga telah merampas beberapa barang kes melibatkan penjualan lambang seperti pelekat kereta dan Jata Negeri Pahang. Kes masih dalam siasatan

"Kita sedang melengkapkan siasatan dan jika sabit kesalahan, kita akan membuat pertuduhan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Noor Hisam Nordin di sini pada Isnin.

Dalam majlis tersebut, Noor Hisam dilantik semula sebagai Timbalan Ketua Polis Pahang berkuat kuasa 30 Ogos ini selepas bertugas sebagai Komandan Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.

Jawatan tersebut sebelum ini dipangku Datuk Mohd Yusri Othman yang juga Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pahang selama hampir tujuh bulan.

Artikel Berkaitan:

Pada 11 Julai lalu, polis Pahang menyiasat kegiatan penjualan bintang dan lencana darjah kebesaran negeri Pahang melalui platform e-dagang tanpa kebenaran.

Kegiatan penjualan itu dikesan selepas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan menerima laporan dan siasatan awal mendapati satu set darjah kebesaran itu dijual pada harga melebihi RM1,000.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3(1)(c) Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017.

Yahaya dalam kenyataan sebelum ini berkata, semua pihak tidak dibenarkan memasang atau memaparkan lambang atau emblem darjah kebesaran negeri Pahang pada mana-mana bahagian kenderaan mereka tanpa kebenaran.

Menjawab mengenai persediaan hadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di Bentong, Yahaya menjelaskan, polis bersiap sedia dari segi jumlah keanggotaan dan aset jika pilihan raya itu diadakan.

Bagaimanapun, jelasnya, pihaknya menunggu keputusan tarikh penamaan calon dan pengundian daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Kita Polis Kontinjen Pahang siap sedia pada tarikh berkenaan jika PRK diadakan.

"Persediaan itu membabitkan jumlah keanggotaan dan aset untuk memastikan keselamatan di PRK berkenaan," katanya.

Hari ini, Yang Dipertua DUN Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin menyerahkan notis kekosongan DUN Pelangai kepada SPR berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun.

Notis itu diserahkan kepada Pengarah SPR Pahang, Datuk Zamree Hamli pada jam 11.30 pagi, di Wisma Sri Pahang di sini.

Khamis lalu, penyandang DUN Pelangai, Johari antara 10 individu yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam.

Allahyarham Johari yang juga Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang adalah seorang tokoh korporat berjaya sebelum bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).