Perkenal cukai bekalan air mentah antara negeri riparian

Syed Mohd Johan Rizal
Syed Mohd Johan Rizal
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Persekutuan disaran supaya memperkenalkan cukai bekalan air mentah antara negeri riparian iaitu negeri laluan sungai.

Ketua Pemuda UMNO Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, sudah tiba masanya kerajaan Pusat campur tangan isu berkenaan dengan menggubal peraturan mewajibkan Pulau Pinang membayar pampasan atas pengorbanan Kedah memastikan keselamatan bekalan air kepada negeri jiran itu.

Menurutnya, sudah lama Kedah hilang pendapatan hanya untuk memastikan Pulau Pinang terus meraih keuntungan hasil bekalan air mentah dari Kedah.

"Kedah boleh melobi kerajaan Pusat agar mewujudkan peraturan mewajibkan Pulau Pinang membayar sejumlah cukai bekalan air mentah. Ini lebih realistik kerana kerajaan Pusat mempunyai kuasa memperkenalkan peraturan pembayaran pampasan berbentuk cukai," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Perkara 74 (1) Perlembagaan Persekutuan dan dibaca bersama artikel 11 (b) Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan menyatakan Parlimen boleh membuat undang-undang berkaitan bekalan air, sungai dan terusan kecuali yang keseluruhannya terletak dalam satu negeri atau yang dikawal selia oleh suatu perjanjian antara semua negeri berkenaan pengeluaran, pengagihan dan pembekalan kuasa air.

"Kedah wajar mengambil peluang atas polisi politik yang selari antara kerajaan negeri dan Persekutuan. Ini masa terbaik mengusulkan kewujudan peraturan seumpama," katanya.

Syed Mohd Johan Rizal berkata, kewujudan peraturan terbabit juga akan menguntungkan negeri lain sekiranya mereka berhadapan situasi sama seperti Kedah dan Pulau Pinang.

"Tuntutan bayaran pampasan air oleh Kedah kepada Pulau Pinang bukan perkara baharu. Ia berlarutan puluhan tahun, melangkui beberapa Menteri Besar di Kedah dan Ketua Menteri di Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

"Setiap kali kerajaan berubah pucuk pimpinan, isu itu dibangkitkan semula tetapi tiada penyelesaian. Satu pihak meminta bayaran, sementara satu pihak tidak endahkan tuntutan atas alasan mereka adalah negeri riparian," katanya.

Secara geografi, katanya, Kedah adalah negeri ‘upstream’ iaitu hulu sungai, manakala Pulau Pinang negeri ‘downstream' iaitu hilir sungai.

"Secara perundangan, negeri riparian boleh menerima faedah penggunaan secara munasabah aliran sungai.

"Namun melihat situasi semasa, faedah dinikmati Pulau Pinang adalah lebih daripada munasabah yang memperoleh sumber air mentah secara percuma, merawat air dan menjual sumber ini untuk kegunaan rakyat Pulau Pinang dan beroleh keuntungan berlipat ganda," katanya.

Menurutnya, Kedah terpaksa berkorban tidak boleh melakukan pembangunan dan pembalakan di dataran hulu Sungai Muda demi manfaat rakyat Pulau Pinang tanpa beroleh hasil kepada kerajaan negeri.

Pada masa sama, katanya, kerajaan negeri Kedah perlu terus menuntut pampasan tahunan atau royalti padi daripada kerajaan Pusat akibat kehilangan pendapatan kerana mengekalkan kawasan tadahan hujan di Hulu Muda atas dasar mempertahankan tanah sawah dan jaminan makanan negara mencukupi.

ARTIKEL BERKAITAN: PBAPP perjelas sebab Kedah tidak boleh tuntut caj air RM50 juta

PBAPP Berhak bersuara demi kepentingan pengguna

Caj RM50 juta untuk pulihara kawasan tadahan air: MB Kedah

PBAPP sila bayar RM50 juta setahun sebelum komen: MB Kedah