X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

PBAPP Berhak bersuara demi kepentingan pengguna

Datuk Ir Jaseni Maidinsa
A
A

GEORGETOWN - Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) berhak untuk bersuara sekiranya kerajaan negeri Kedah membuat keputusan yang mengancam keselamatan bekalan air Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir Jaseni Maidinsa berkata, sebagai organisasi pembekalan air holistik, PBAPP menganggap kawasan tadahan air seperti Ulu Muda adalah penghubung pertama dalam rantaian nilai bekalan air.

Menurutnya, tanpa air mentah yang mencukupi, PBAPP tidak dapat menghasilkan air terawat yang mencukupi untuk memenuhi keperluan harian Pulau Pinang.

"Ini adalah perniagaan utama kami dan tanggungjawab awam untuk memenuhi segala keperluan bekalan air Pulau Pinang setiap hari. Kami akan terus bersuara untuk pemuliharaan Kompleks Hutan Ulu Muda (Ulu Muda) yang merangkumi 163,000 hektar hutan hujan.

"Hutan hujan ini menghasilkan 70 peratus air mentah Perlis dan 96 peratus air mentah Kedah manakala lebih daripada 80 peratus air mentah yang diabstrak oleh PBAPP setiap hari, dari Sungai Muda juga datangnya dari Ulu Muda," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menuntut PBAPP membayar RM50 juta setahun kepada kerajaan Kedah bagi caj air mentah dari negeri ini sebelum mengeluarkan sebarang maklum balas tentang bekalan air di Kawasan Ulu Muda.

Mengulas mengenai perkara itu Jaseni berkata, perlombongan 'rare earth elements' (REE) berskala besar di Ulu Muda akan membahayakan bekalan air untuk 4.2 juta orang di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Katanya, Menteri Besar Kedah mungkin terlupa yang Ulu Muda adalah kawasan tadahan air terbesar dan terpenting di NCER.

"Ulu Muda tidak dapat terus berfungsi sebagai kawasan tadahan air utama jika hutan hujannya ditebang, bukit-bukaunya diratakan dan lanskapnya dilanda operasi perlombongan.

"Perlombongan juga akan memberi kesan buruk kepada Sungai Muda, sumber air mentah yang strategik, serta kualiti air mentahnya," katanya.

Beliau berkata, perlombongan REE di Ulu Muda secara langsung mengancam keselamatan bekalan air di wilayah ini dan kehidupan serta mata pencarian 4.2 juta orang serta anggaran sumbangan KDNK sebanyak RM147.8 bilion dari Perlis, Kedah dan Pulau Pinang pada tahun 2019.

Untuk rekod, Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Sahabat Alam Malaysia (SAM), Pertubuhan Perlindungan Khazanah Malaysia (PEKA) dan beberapa Ahli Parlimen juga telah membantah cadangan perlombongan REE Kedah.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!