Caj RM50 juta untuk pulihara kawasan tadahan air: MB Kedah

Muhammad Sanusi (dua dari kiri) menyerahkan komputer riba dan pelan data kepada 50 pelajar dari kategori B40 anak Kedah di Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok hari ini.
Muhammad Sanusi (dua dari kiri) menyerahkan komputer riba dan pelan data kepada 50 pelajar dari kategori B40 anak Kedah di Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok hari ini.
A
A
A

SINTOK - Caj air mentah sebanyak RM50 juta setahun yang dituntut kerajaan Kedah daripada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) adalah bagi menampung kos memulihara kawasan tadahan air di kawasan Ulu Muda.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, air mentah di Sungai Muda yang mengalir ke Pulau Pinang digunakan oleh perbadanan itu untuk membekalkan air ke negeri tersebut termasuk menjana keuntungan.

Menurutnya, kerajaan negeri akan terus menuntut caj air mentah tersebut, bagaimanapun masih belum berhasrat membawa perkara tersebut ke peringkat mahkamah.

“Kita kena ambil caj air mentah kerana mahu mengekalkan sumber air yang datang daripada kawasan tadahan negeri ini.

ARTIKEL BERKAITAN: PBAPP sila bayar RM50 juta setahun sebelum komen: MB Kedah

'Pulau Pinang tidak akan bayar RM50 juta kepada Kedah'

“Kita mahu kekalkan kawasan tadahan itu sebagai kawasan tadahan yang mampu membekalkan air yang mencukupi. Jadi, kena bayarlah,” katanya selepas Majlis Ilmu, Budi, Bakti Menteri Besar Kedah dan Penyampaian Komputer Riba Serta Pakej Pelan Data Kepada Pelajar B40 Anak Kedah di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini.

Hadir sama, Naib Canselor UUM, Profesor Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Sanusi berkata demikian ketika mengulas berhubung kenyataan PBAPP pada 12 Ogos 2017 yang kembali tular di media sosial ketika ini.

Kenyataan itu turut menyenaraikan sebab-sebab perbadanan tersebut tidak perlu membayar caj air mentah kepada Kedah.

Antara sebab-sebab tersebut adalah Skim Air Sungai Muda dibuka secara rasmi oleh Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein pada 9 November 1973 yang dalam upacara pembukaan itu tidak menyebut mengenai caj air mentah.

Turut dalam senarai ialah Pulau Pinang juga dikatakan mengabstrak air mentah tanpa caj dari Sungai Muda kerana tiada perjanjian, kontrak atau caj yang disebut sebelum ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, penubuhan Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) diluluskan pada 2006 yang berfungsi mengumpul pendapatan hasil bekalan air mentah di negeri ini dan tuntutan dilakukan melalui Akta Industri Perkhidmatan air 2006.

“Saya rasa dalam tamadun moden ini, bila sudah ada undang undang dan akta baharu ini, kita kena ikutlah. Tak payah sampai naik mahkamah.

“Esok kalau alirkan Sungai Muda ke tempat lain, bina 'belat' (penyekat) air di Pinang Tunggal, baru mereka tahu. Air sungai kering bolehlah mereka cari ikan darat di sungai di Pulau Pinang,” katanya secara berseloroh.

Pada Rabu lalu, Sinar Harian melaporkan PBAPP dituntut membayar RM50 juta setahun kepada kerajaan Kedah bagi caj air mentah dari negeri ini sebelum mengeluarkan sebarang maklum balas tentang bekalan air di Ulu Muda.