Raja Muda Kedah berkenan iftar bersama rakyat di Dataran Masjid Zahir

ALOR SETAR – Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin berkenan mencemar duli berbuka puasa bersama rakyat pada program Iftar Ramadan Experience Kedah 2.0 yang berlangsung di Dataran Masjid Zahir, di sini pada Jumaat.
Keberangkatan baginda diiringi Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff dan Tunku Sulaiman Badlishah Tengku Sarafudin Badlishah.
Baginda bersama keluarga tiba kira-kira jam 7 malam di Dataran Medan Bandar yang terletak berhadapan Masjid Zahir sebelum beramah mesra dengan orang ramai yang hadir berbuka puasa di kawasan berkenaan.
Pada majlis itu, Raja Muda Kedah turut berkenan mengurniakan sumbangan berupa set nasi beriani dan churros kepada pengunjung sekali gus menyerikan lagi suasana iftar yang dihadiri ribuan rakyat pelbagai lapisan usia.
Sejurus azan Maghrib berkumandang, baginda bersama rakyat berbuka puasa sebelum berangkat menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat tarawih di masjid negeri itu.
Turut hadir Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan negeri, Datuk Mohd Salleh Saidin; Exco Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan negeri, Datuk Mohd Azam Abd Samat serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Norizan Khazali.

Program Iftar Ramadan Experience Kedah 2.0 merupakan acara tradisi setiap kali Ramadan yang menghimpunkan masyarakat setempat untuk berbuka puasa secara beramai-ramai dalam suasana penuh ukhuwah dan kesederhanaan.
Dianjurkan oleh Kedah Tourism dengan kerjasama Majlis Bandar Raya Alor Setar, Majlis Agama Islam Negeri Kedah, Masjid Zahir serta Pertubuhan Kebajikan Nur Iman, program itu berjaya menarik kehadiran ribuan pengunjung khususnya pada setiap Jumaat dan Sabtu sepanjang Ramadan.
Pengunjung turut digalakkan membawa juadah secara potluck, manakala pihak penganjur menyediakan makanan kepada 1,000 pengunjung terawal selain mengadakan pengisian kerohanian seperti sesi tausiyah dan perkongsian ilmu agama oleh individu bertauliah.
Ringkasan AI
- Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin mencemar duli berbuka puasa bersama rakyat di Dataran Masjid Zahir
- Diiringi Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda dan Tunku Sulaiman Badlishah
- Baginda mengurniakan sumbangan berupa set nasi beriani dan churros kepada pengunjung
- Raja Muda Kedah berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib, Isyak dan tarawih di masjid
- Iftar Ramadan Experience Kedah 2.0 dianjurkan untuk menghimpunkan masyarakat berbuka puasa secara beramai-ramai
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

