Banjir merebak ke Dungun, Setiu

Pasukan bomba dan penyelamat membantu penduduk Kampung Padang Kemunting, Kuala Nerus berpindah ke pusat pemindahan sementara selepas rumah mereka dinaiki air hari ini.
Pasukan bomba dan penyelamat membantu penduduk Kampung Padang Kemunting, Kuala Nerus berpindah ke pusat pemindahan sementara selepas rumah mereka dinaiki air hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Banjir gelombang ketiga di Terengganu merebak ke Dungun dan Setiu menjadikan jumlah daerah yang terjejas bencana tersebut kini meningkat kepada enam berbanding empat daerah pagi tadi.

Sehingga jam 6 petang tadi, seramai 832 mangsa melibatkan 232 keluarga dari Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Dungun, Marang, Kemaman dan Setiu dipindahkan ke 21 pusat pemindahan sementara (PPS).

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, Marang merupakan daerah paling terjejas dengan 301 mangsa ditempatkan di empat PPS.

Menurutnya, seramai 184 penduduk Kuala Terengganu pula dipindahkan ke empat PPS diikuti Kuala Nerus (155 orang), Kemaman (94 orang), Dungun (59 orang) dan Setiu pula merekodkan 39 mangsa.

“Keadaan cuaca sekarang hujan lebat di kawasan Kuala Terengganu dan Marang manakala sebahagian kawasan lain hujan renyai.

“Amaran hujan lebat oleh Jabatan Meteorologi Malaysia melibatkan daerah Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang hingga esok masih dikuatkuasakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Hujan lebat berterusan di Terengganu hingga Sabtu

Banjir gelombang ketiga di Terengganu

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan tiga sungai di Setiu merekodkan bacaan melepasi paras bahaya iaitu Sungai Setiu di Kampung Besut, Sungai Chalok di Jambatan Chalok dan Sungai Nerus di Kampung Langkap.

Empat sungai lagi di Setiu, Hulu Terengganu dan Marang pula merekodkan bacaan melepasi paras waspada.

Sungai tersebut adalah Sungai Nerus di Kampung Bukit, Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri, Sungai Telemong di Kuala Ping dan Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan.