Banjir gelombang ketiga di Terengganu

Bandar Kuala Terengganu dinaiki air berikutan pertembungan hujan lebat dan fenomena air pasang. FOTO: Ihsan pembaca
Bandar Kuala Terengganu dinaiki air berikutan pertembungan hujan lebat dan fenomena air pasang. FOTO: Ihsan pembaca
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tidak sampai 24 jam banjir gelombang kedua ditamatkan semalam, Terengganu kembali dilanda banjir gelombang ketiga dengan beberapa tempat di bandar Kuala Terengganu dinaiki air malam tadi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, hujan lebat berterusan antara lima hingga enam jam bermula jam 5 petang menyebabkan lokasi tertentu di bandaraya ini ditenggelami air.

Che Adam A Rahman
Che Adam A Rahman

“Kita dimaklumkan oleh JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran), biasanya kita menerima hujan sekitar 200 hingga 280 milimeter (mm) sebulan tapi hujan hari ini (semalam) julatnya antara 180 hingga 190mm, terlampau banyak menyebabkan paras air meningkat," katanya.

Menurutnya, selain hujan lebat, pertembungan air pasang besar juga menjadi faktor berlaku kenaikan air luar biasa di bandar Kuala Terengganu termasuk lokasi yang tidak pernah banjir sebelum ini dan beberapa kawasan daerah lain.

"Antara kawasan bandar Kuala Terengganu yang dilaporkan banjir adalah Jalan Kamaruddin, Jalan Pusara, sekitar hentian bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Jalan Sultan Omar dan beberapa jalan lain.

“Fenomena air pasang besar menyebabkan aliran takungan air hujan khususnya kawasan rendah tidak dapat turun ke laut dengan lancar. Waktu puncak air pasang antara jam 1 hingga 2 pagi, selepas itu aliran ke laut akan lancar.

“Bermula jam 3 hingga 4 pagi tadi sebahagian besar jalan yang ditutup malam tadi seperti Jalan Kamaruddin dan depan stesen bas MBKT sudah mula dibuka secara berperingkat mulai pagi ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

PPS di SK Chendering mula dibuka malam tadi bagi menempatkan mangsa terjejas banjir. FOTO: APM
PPS di SK Chendering mula dibuka malam tadi bagi menempatkan mangsa terjejas banjir. FOTO: APM

Che Adam berkata, hujan lebat berterusan dan fenomena air pasang itu juga menyebabkan empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang dan Kemaman dilanda banjir dengan mangsa dipindahkan bermula jam 8 malam tadi.

Katanya, sehingga jam 7 pagi ini sebanyak sembilan PPS dibuka bagi menempatkan 439 mangsa dari 124 keluarga.

"Marang merekodkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 156 orang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Rusila diikuti Kuala Terengganu (114 orang), Kuala Nerus (96 orang) dan Kemaman (73 orang).

“Jabatan Meteorologi Malaysia malam tadi mengeluarkan amaran cuaca buruk di kawasan Utara Terengganu iaitu Setiu dan Besut. Kita jangka implikasi hujan lebat berterusan akan menyebabkan banjir di dua daerah itu pula,” katanya.