Belanjawan Sabah 2027 bakal tangani isu air, elektrik dan jalan raya - Hajiji

KOTA KINABALU - Belanjawan Sabah 2027 yang akan dibentangkan pada 4 Disember depan dijangka memberi manfaat besar kepada rakyat, khususnya dalam menangani isu kemudahan asas di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, belanjawan berkenaan bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan negeri, malah turut menyediakan penyelesaian terhadap beberapa masalah utama yang dihadapi rakyat Sabah.
"Saya tidak mahu mendedahkan terlalu banyak perkara sebelum belanjawan itu dibentangkan, tetapi saya ingin menegaskan bahawa ia merupakan belanjawan yang baik untuk rakyat dan pembangunan negeri.
"Belanjawan ini akan menyediakan penyelesaian kepada masalah yang kita hadapi di Sabah," katanya ketika ditemui pada sambutan Deepavali di Magellan Sutera, di sini pada Ahad.
Hadir sama ialah Timbalan-Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dan Datuk Seri Masidi Manjun, barisan menteri, Setiausaha kerajaan negeri, Datuk Zainudin Aman, wakil rakyat serta pelbagai pemimpin masyarakat.
Sementara itu, mengulas mengenai sambutan Deepavali, Hajiji berharap perayaan berkenaan membawa cahaya dan keberkatan bukan sahaja kepada masyarakat India, malah kepada semua kaum di Sabah.
"Inilah semangat Malaysia sebenar yang kita mahu lihat, sebuah masyarakat berbilang kaum yang meraikan perayaan bersama-sama.
"Marilah kita terus mempertahankan semangat perpaduan ini demi kebaikan bersama," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
