Karangkraf tawar cenderamata serendah RM1 sempena Jualan Gudang Karangkraf

SHAH ALAM - Pelbagai cenderamata dan barangan rasmi keluaran Grup Buku Karangkraf ditawarkan pada harga serendah RM1 menerusi potongan harga istimewa sempena Jualan Gudang Karangkraf 2026 sehingga 9 November ini.
Penolong Pengurus Pembangunan Jualan dan Pameran Grup Buku Karangkraf, Norhaslinda Izham berkata, tawaran itu membabitkan pelbagai produk termasuk enamel pin, magnet peti sejuk, rantai kunci, penanda buku dan buku nota.

Menurutnya, potongan harga bagi sesetengah cenderamata boleh mencecah sehingga 50 peratus berbanding harga asal.
"Contohnya, kad quotes yang biasanya dijual pada harga RM3, kini ditawarkan pada harga RM1, manakala buku nota yang berharga RM12 dijual pada harga RM5.
"Pengunjung yang mempunyai keahlian VIP turut menikmati diskaun tambahan bagi pembelian produk tertentu sepanjang tempoh Jualan Gudang Karangkraf," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Norhaslinda menjelaskan semua cenderamata yang ditawarkan merupakan produk keluaran Karangkraf yang direka dan dihasilkan sendiri berdasarkan konsep dan idea daripada buku terbitan syarikat itu.
Tambahnya lagi, idea dan reka bentuk produk tersebut mengambil inspirasi daripada konsep buku yang diterbitkan Karangkraf, termasuk menghasilkan cenderamata khas berdasarkan karya penulis tertentu.
Norhaslinda berkata, reka bentuk produk turut disesuaikan dengan karya tertentu, termasuk menghasilkan cenderamata dan pakej khas berdasarkan buku penulis terkenal seperti Ramli Awang Murshid.

Sementara itu, ujarnya, harga produk berbeza mengikut jenis, bahan dan saiz termasuk rehal kayu yang dijual antara RM35 hingga RM40.
"Rehal besi pula dijual pada harga sekitar RM120 hingga RM130 kerana reka bentuknya lebih tinggi dan kebanyakannya disasarkan kepada golongan warga emas yang perlu membaca al-Quran sambil duduk di kerusi," katanya.
"Karangkraf juga menyediakan beberapa pakej khas sepanjang Jualan Gudang, termasuk al-Quran bersaiz besar seperti al-Quran al-Kubra yang ditawarkan bersama rehal besi dan beg.
“Pakej al-Quran bersama cenderamata hanya boleh didapati sepanjang Jualan Gudang, manakala produk berkenaan dijual secara berasingan di luar tempoh jualan tersebut,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
