Angka kematian kebakaran di Hawaii meningkat kepada 110

Angka kematian akibat kebakaran hutan Maui di Hawaii Amerika Syarikat (AS) mencecah 110 orang pada Rabu. - Foto AFP
Angka kematian akibat kebakaran hutan Maui di Hawaii Amerika Syarikat (AS) mencecah 110 orang pada Rabu. - Foto AFP
A
A
A

LOS ANGELES - Angka kematian akibat kebakaran hutan Maui di Hawaii Amerika Syarikat (AS) mencecah 110 orang pada Rabu, kata Gabenor Hawaii Josh Green.

Kebakaran hutan yang memusnahkan bandar bersejarah Lahaina di Maui itu mencatat angka kematian tertinggi dalam tempoh lebih seabad dalam sejarah moden AS.

Sehingga ini, kira-kira 38 peratus daripada kawasan yang terbakar telah diperiksa, lapor Xinhua memetik sidang media Green.

"Setiap hari kami terpaksa melaporkan mengenai orang yang tersayang disahkan mati atau hilang,” kata gabenor itu.

Beliau berkata kira-kira 2,000 pengguna masih belum mendapat bekalan elektrik di kawasan terjejas di pulau itu.

Sementara itu, Ketua Polis Maui John Pelletier pada Selasa berkata kerja-kerja memeriksa kawasan kebakaran boleh mencecah 85 hingga 90 peratus menjelang hujung minggu.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, Rumah Putih berkata Presiden Joe Biden akan melawat Maui pada Isnin untuk bertemu anggota penyelamat, mangsa yang terselamat serta pegawai persekutuan, negeri dan tempatan.

"Saya tetap komited untuk memenuhi keperluan rakyat Hawaii supaya mereka dapat kembali pulih daripada bencana ini," kata Biden di X (Twitter). - Bernama-Xinhua

Artikel Berkaitan: