X

Kindly register in order to view this article
!

Hujan lebat berterusan di Terengganu hingga Sabtu

Kebanyakan kawasan di negeri pantai barat Semenanjung, pedalaman Pahang, barat Sabah dan barat Sarawak dijangka mengalami ribut petir dan hujan lebat berserta angin kencang pada waktu petang hingga awal malam. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran cuaca buruk peringkat jingga dengan hujan lebat berterusan di Terengganu hingga Sabtu ini.

Menurut kenyataan MetMalaysia, cuaca buruk yang sama diramal turut melanda Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh di Kelantan hingga esok.

“Amaran cuaca waspada peringkat kuning dengan hujan lebat dijangka melanda Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Kuala Krai di Kelantan serta beberapa kawasan di Pahang iaitu Jerantut, Temerloh, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin hingga Sabtu ini," menurut kenyataan itu.

Selain itu, hujan lebat dijangka berlaku di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Hulu Perak di Perak hari ini.

MetMalaysia memaklumkan bahawa dalam tempoh tersebut, angin kencang boleh berlaku terutamanya di kawasan pantai di negeri pantai timur Semenanjung.

Kebanyakan kawasan di negeri pantai barat Semenanjung (Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor), pedalaman Pahang, barat Sabah dan barat Sarawak dijangka mengalami ribut petir dan hujan lebat berserta angin kencang pada waktu petang hingga awal malam dalam tempoh berkenaan.

"Keadaan ini berpotensi menyebabkan banjir kilat di kawasan rendah serta kerosakan kepada struktur yang tidak kukuh," menurut MetMalaysia.

Menurut kenyataan itu, angin kencang timur laut berkelajuan 50-60 kilometer sejam dengan ombak setinggi 4.5 meter dijangka berlaku di perairan Kelantan, Terengganu dan Pahang dalam tempoh tersebut.

Kejadian ini boleh mendatangkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai dan muara sungai kawasan terbabit. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!