Datuk bandar mengamuk, dua doktor 'berasmara' dalam bilik berkunci ketika hospital sibuk

RECIFE - Tindakan dua doktor yang didakwa berada di dalam bilik rehat ketika ruang kecemasan di sebuah hospital di Brazil sesak dengan pesakit mencetuskan kontroversi selepas mereka diserbu Datuk Bandar Barreiros, Carlinhos da Pedreira.
Insiden itu berlaku di Hospital Perbandaran Jailton Messias de Souza Albuquerque pada malam Rabu lalu susulan aduan orang ramai mengenai kelewatan mendapatkan rawatan.
Ketika pemeriksaan mengejut itu, Carlinhos mendakwa hanya seorang daripada tiga doktor yang bertugas sedang merawat pesakit manakala dua lagi berada di dalam sebuah bilik berkunci.
Beliau mengarahkan bilik berkenaan dibuka sebelum berdepan dengan seorang doktor lelaki dan seorang doktor wanita.
Menerusi rakaman video yang tular di media sosial, Carlinhos dilihat berang dan menuduh kedua-dua doktor itu 'sibuk berasmara' ketika pesakit masih menunggu rawatan dan mengancam mahu memecat mereka.
Bagaimanapun, dakwaan bahawa kedua-dua doktor itu melakukan hubungan intim tidak dibuktikan menerusi rakaman tersebut.
Kesatuan Doktor Pernambuco (Simepe) bagaimanapun tampil mempertahankan kedua-dua petugas perubatan itu dengan menjelaskan mereka sebenarnya sedang berehat selepas menjalani 12 jam pertama syif yang padat.
Menurutnya, seorang lagi doktor masih bertugas memberikan rawatan kepada pesakit ketika kedua-dua rakan sekerjanya berehat.
Simepe menegaskan bahawa waktu rehat ketika bertugas tidak boleh dianggap sebagai pengabaian tanggungjawab selagi kesinambungan perkhidmatan perubatan kepada pesakit terus terjamin.
Kesatuan itu turut mengecam tindakan Datuk Bandar yang didakwa memalukan dan mendedahkan kedua-dua doktor berkenaan kepada penghakiman umum.
Majlis Perubatan Serantau Pernambuco (Cremepe) turut menyuarakan bantahan terhadap tindakan mendedahkan identiti kedua-dua doktor berkenaan secara terbuka.
Menurut badan itu, sebarang persoalan berkaitan mutu rawatan, pematuhan jadual bertugas dan pengendalian perkhidmatan kesihatan perlu diselesaikan menerusi saluran institusi serta undang-undang yang sewajarnya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

