Sasar 4,000 asnaf bebas miskin

Wan Marzuki (dua, kanan) menyampaikan bantuan barangan keperluan makanan kepada ibu tunggal, Zalma Hamzah, 57, yang menjaga seorang anak orang kurang upaya pada Program Jalinan Kasih hari ini.
Wan Marzuki (dua, kanan) menyampaikan bantuan barangan keperluan makanan kepada ibu tunggal, Zalma Hamzah, 57, yang menjaga seorang anak orang kurang upaya pada Program Jalinan Kasih hari ini.
A
A
A

KEMAMAN - Bersatu Bahagian Kemaman menyasarkan seramai 4,000 orang asnaf di daerah ini dapat dibantu agar keluar dari belenggu kemiskinan menerusi program Satu Dun Satu Industri yang dirancang dirasmikan pada Mac depan.

Ketua bahagiannya, Datuk Seri Wan Marzuki Wan Sembok berkata, ia melibatkan 1,000 asnaf di setiap empat kawasan Dun di Parlimen Kemaman iaitu Chukai, Air Putih, Kijal dan Kemasik.

Beliau berkata, Serikandi Bersatu Kemaman telah mengadakan perbincangan mengenai perkara itu dengan Kerajaan Pusat menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang diterajui Menterinya, Datuk Seri Rina Harun.

"Menerusi inisiatif Satu Dun Satu Industri ini kita sasarkan setiap Dun sekurang-kurangnya ada satu industri orang kampung untuk beri satu iklim ekonomi yang lebih baik kepada mereka.

"Tumpuan industri yang akan kita berikan adalah dari segi pengeluaran produk-produk makanan halal berasaskan hasil laut terutama ikan memandangkan Kemaman juga terkenal sebagai kawasan pendaratan nelayan," katanya ketika ditemui pada Program Jalinan Kasih di penempatan orang miskin Kampung Batu 4 Binjai, di sini, hari ini.

Pada program itu, Wan Marzuki yang juga Pengerusi PH Kemaman menziarah dari rumah ke rumah menyampaikan bantuan barang keperluan makanan kepada seramai 100 keluarga asnaf di tujuh buah kampung di daerah ini.

Sesi ziarah itu djalankan bersama badan bukan kerajaan (NGO) yang baharu ditubuhkan di bawah Bersatu Kemaman, Nur Kasih dan Mediator Komuniti Pejabat Perpaduan Kemaman, M Afzalizan Awang Hamat.

Mengulas lanjut, Wan Marzuki berkata, selain industri pembuatan keropok lekor yang sudah sinonim dengan daerah ini, produk berasaskan ikan itu boleh dikembangkan lagi dengan pengeluaran produk bebola ikan dan 'fish cake'.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pengeluaran produk keluaran bumiputera yang halal mempunyai potensi besar untuk menjana keuntungan lumayan kerana mendapat permintaan tinggi di pasaran tempatan dan luar negara.

Menurut beliau, melalui inisiatif Satu Dun Satu Industri, kelompok asnaf akan diberikan bantuan modal serta bimbingan dan latihan dari segi penghasilan dan pengeluaran produk termasuk kaedah pembungkusan, proses mendapatkan persijilan halal dan strategi pemasaran.

"Kita juga akan dedahkan mereka dengan peranan agensi kerajaan sedia ada seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) yang beri bantuan untuk memasarkan produk mereka dan selain itu, mereka juga boleh didedahkan dengan pemasaran secara atas talian yang menjadi trend sekarang seiring dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT)," katanya.

Wan Marzuki berkata, inisiatif Satu Dun Satu Industri itu dijangka dilancarkan ketika kunjungan Rina ke daerah ini pada Mac nanti kerana program itu diolah dari Skim Satu Daerah Satu Industri di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar.