Perkeso sasar 300,000 suri rumah sertai SKSSR tahun ini

Ahmad Nadzaruddin (berdiri, dua dari kanan) berkata sesuatu kepada tetamu yang hadir pada Majlis Sambutan Aidilfitri Perkeso Terengganu di sini pada Rabu.
Ahmad Nadzaruddin (berdiri, dua dari kanan) berkata sesuatu kepada tetamu yang hadir pada Majlis Sambutan Aidilfitri Perkeso Terengganu di sini pada Rabu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyasarkan seramai 300,000 suri rumah mendaftar sebagai pencarum dalam Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) di seluruh negara sehingga akhir tahun ini.

Ahli Lembaga Perkeso, Datuk Ahmad Nadzaruddin Abd Razak berkata, setakat ini kira-kira 160,000 golongan suri rumah sudah pun mencarum dalam skim tersebut selepas ia mula diperkenalkan kerajaan pada 1 Disember lalu.

Menurutnya, jumlah itu masih rendah berbanding anggaran terdapat kira-kira 3 juta suri rumah di seluruh negara dan Perkeso kini sedang berusaha meningkatkan penyertaan golongan tersebut dalam SKSSR.

“Daripada maklum balas yang diterima, antara punca pendaftaran SKSSR masih rendah adalah suri rumah atau pencarum sukar untuk membuat bayaran caruman.

“Oleh itu kita bercadang untuk menambah kaedah dan saluran bayaran caruman, contohnya menerima penggunaan kad kredit, e-wallet atau pembayaran secara dalam talian,” katanya ketika hadir ke Sambutan Aidilfitri Perkeso Terengganu di sini pada Rabu.

Hadir sama Pengarah Perkeso Terengganu, Farihah Che Husin.

Ahmad Nadzaruddin berkata, Perkeso juga akan lebih proaktif dalam menyampaikan semua maklumat berkaitan kebaikan SKSSR kepada golongan sasar termasuk dengan kerjasama bersama agensi kerajaan lain.

Katanya, usaha itu penting kerana maklumat inisiatif yang dilaksanakan kerajaan buat golongan suri rumah belum sampai hingga ke peringkat akar umbi.

“Sebagai contoh, kita bercadang bekerjasama dengan Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) agar skim ini dapat diwar-warkan kepada ahli mereka supaya kita ada saluran lain untuk capai suri rumah lebih ramai dan cepat,” katanya.

SKSSR yang mula dilaksanakan pada 1 Disember 2022 menawarkan faedah di bawah Perlindungan Bencana Domestik dan Perlindungan Keilatan seperti Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Kekal, Elaun Keuzuran, Faedah Pengurusan Mayat dan Pencen Penakat.

Skim perlindungan di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 (Akta 838) ini terbuka kepada wanita warga tempatan dan pemastautin tetap berusia kurang 55 tahun dan menguruskan rumah tangga sepenuh masa atau separuh masa, berkahwin atau bujang.