PN sapu bersih 32 kerusi DUN, satu Parlimen di Terengganu

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi (tengah) bersama Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (duduk, kanan) dan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang ketika sidang akhbar selepas mengumumkan kemenangan Perikatan Nasional (PN) di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila, Marang.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi (tengah) bersama Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (duduk, kanan) dan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang ketika sidang akhbar selepas mengumumkan kemenangan Perikatan Nasional (PN) di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila, Marang.
A
A
A

MARANG - Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu pada Sabtu menyaksikan Pas menyapu bersih 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu kerusi Parlimen.

Berdasarkan keputusan rasmi dikeluarkan SPR, PN menguasai empat DUN di Besut dengan majoriti 4,119 undi di Kuala Besut, Kota Putera (3,809), Jertih (4,723) dan Hulu Besut (2,860).

Di Setiu, PN menang dengan majoriti 4,676 di DUN Jabi, Permaisuri (7,538), Langkap (2,734) dan Batu Rakit (6,019).

Bagi Kuala Nerus pula, PN menang dengan majoriti 10,894 di Tepuh, Buluh Gading (10,366), Seberang Takir (2,797) dan Bukit Tunggal (7,271).

Di Kuala Terengganu, PN menguasai majoriti 18,627 undi di DUN Wakaf Mempelam, Bandar (2,364), Ladang (4,373) dan Batu Buruk (17,668).

Di Marang, PN memenangi majoriti 12,656 di DUN Alur Limbat, Bukit Payung (10,956), Ru Rendang (17,286) dan Pengkalan Berangan (8,726).

Bagi Hulu Terengganu, PN menguasai majoriti 295 undi di DUN Telemung, Manir (11,260), Kuala Berang (5,917) dan Ajil (6,258).

Di Dungun PN memenangi majoriti 3,712 undi di DUN Bukit Besi, Rantau Abang (12,922), Sura (13,848) dan Paka 11,876.

Artikel Berkaitan:

Di Kemaman pula, PN menguasai DUN Kemasik dengan 6,505 undi, Kijal (3,758), Cukai (8,106) dan Air Putih (10,328).

Beberapa kejutan besar berlaku antaranya dua bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dari Barisan Nasional (BN) tewas kepada pencabar masing-masing.

Ahmad yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal tewas kepada Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris dengan majoriti 3,758 undi.

Razali yang merupakan muka baharu mengalahkan Ahmad yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu selepas memperoleh 13, 403 undi.

Sementara itu, Ahmad Razif tewas kepada pencabarnya, Khazan Che Mat dengan majoriti 2,797 undi.

Ahmad Razif yang merupakan penyandang kerusi Seberang Takir sejak 2008 memperoleh 9,359 undi, manakala Khazan mendapat 12,156 undi.

PN turut memenangi majoriti lebih besar dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu dengan majoriti 47,266 undi berbanding majoriti 40,907 undi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November tahun lalu.

Calon Pas, Datuk Seri Ahmad Amzad Hashim menerima 68,369 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Azan Ismail yang mendapat 21,103.