Suami isteri, tiga anak perempuan mangsa rentung dalam kebakaran di Raub

RAUB – [KEMAS KINI] Lima mangsa yang maut dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong, di sini awal pagi Khamis terdiri daripada pasangan suami isteri dan tiga anak perempuan mereka.
Mangsa yang terkorban ialah Mohd Awi Muhammad, 56, dan isterinya, Zaleha Adam @ Ibrahim, 44, serta tiga anak perempuan mereka, Ruby Adira Batrisya, 17, Ruby Adlina Banin, 14, dan Ruby Azyan Barizah, 10.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abdul Rahman, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 3.40 pagi melalui panggilan anggota Pondok Polis Pamah Kulat.
Menurutnya, susulan itu, pihaknya bersama anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub bergegas ke lokasi kejadian.
“Hasil siasatan mendapati lima sekeluarga yang menghuni rumah tersebut telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau memaklumkan dua lagi anak mangsa terselamat kerana ketika kejadian berlaku mereka tiada di rumah.
“Difahamkan anak sulung mangsa berusia 19 tahun tinggal di asrama Kolej Matrikulasi Gambang, Kuantan, manakala seorang lagi anak lelakinya berumur 15 tahun berada di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dong,” katanya.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim, berkata keseluruhan rumah dilaporkan musnah 100 peratus dan turut terbakar tiga buah kereta serta tiga buah motosikal.
Menurutnya, punca kebakaran masih dalam siasatan.
Ringkasan AI
- Lima mangsa kebakaran rumah di Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong adalah pasangan suami isteri dan tiga anak perempuan mereka
- Mangsa ialah Mohd Awi Muhammad, isterinya Zaleha Adam dan anak-anak mereka Ruby Adira Batrisya, Ruby Adlina Banin, Ruby Azyan Barizah
- Ketua Polis Daerah Raub menerima maklumat kejadian pada sekitar 3.35 pagi
- Mayat mangsa akan dibawa ke Hospital Raub untuk tindakan lanjut
- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang menerima panggilan kecemasan pada 3.44 pagi, jentera tiba di lokasi 4.15 pagi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

