Usia bukan penghalang sambung pengajian

Sebahagian pelajar OUM Kuala Lipis yang hadir dalam majlis perjumpaan Kelab Pelajar OUM Lipis hari ini.
Sebahagian pelajar OUM Kuala Lipis yang hadir dalam majlis perjumpaan Kelab Pelajar OUM Lipis hari ini.
A
A
A

LIPIS - Usia emas bukan penghalang buat seorang imam di sini memilih untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Imam Masjid Kampung Paya Lanar di sini Aripin Bahar, 63, menyambung pengajian peringkat Sarjana Pengajian Islam di Universiti Terbuka Malaysia (OUM), Kuala Lipis.

Lebih manis lagi apabila beliau yang sudah kematian isteri belajar bersama seorang bekas pelajarnya, Norlisa Khalimi, 36, di OUM Kuala Lipis yang mula dibuka pada Januari tahun ini.

Aripin yang juga seorang pesara guru itu memberitahu, keputusan tersebut diambil selepas mendapat dorongan tujuh anaknya selain memberikan contoh kepada golongan muda faktor umur bukan penghalang buat warga emas sepertinya menimba ilmu.

"Dalam usia 63 tahun saya belajar bukanlah untuk kerjaya atau mencari kerja tetapi mahu mencari ilmu secara formal dan saya yakin dapat menamatkan pengajian dengan baik.

"Selain itu saya harap kesungguhan ini mendorong anak muda untuk belajar apatah lagi saya sering memberikan ceramah menggalakkan orang ramai menuntut ilmu," katanya ketika ditemui pada majlis Perjumpaan Kelab Pelajar Universiti Terbuka Malaysia (OUM) Lipis di sini hari ini.

Hadir sama, Pemangku Pengarah OUM Kuala Lipis, Mohammad Naim Ismail.

Aripin yang juga wali hakim Mukim Cheka berkata, anak-anaknya turut berkongsi wang bagi membayar yuran pendaftaran untuk beliau melanjutkan pengajian.

Artikel Berkaitan:

Farhatun Najiha Ibrahim
Farhatun Najiha Ibrahim

Sementara itu, bagi seorang tukang jahit, Farhatun Najiha Ibrahim,38, berkata, bekerja dan menjaga kedua ibu bapanya yang sakit tidak menghalang beliau menyambung pengajian peringkat Sarjana Muda Pengurusan.

Anak kedua daripada tiga beradik yang mengusahakan kedai jahit sejak tujuh tahun lalu di bandar Kuala Lipis nekad menyambung pengajian kerana minat menimba ilmu.

"Saya belajar bukan untuk mencari pekerjaan lain kerana perlu berada di kampung untuk menjaga dan menguruskan kedua-dua ibu bapa saya yang sakit. Kakak dan adik saya telah berkahwin dan mengikut suami mereka.

"Saya membahagikan masa dengan memperuntukkan waktu pagi hingga tengah hari menguruskan ibu bapa di rumah dan bermula jam 3 petang ke kedai jahit dan pada waktu malam mengulangkaji pelajaran," katanya.