KPM lancar modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi

Fadhlina (kanan) menunjukkan buku modul penghayatan hadis 40 Imam Nawawi selepas melancarkannya pada Sabtu semasa Program Karnival Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Putrajaya (SMKA). Turut kelihatan, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Dasar dan Kurikulum) Dr Ahmad Rafee Che Kassim (tengah) dan Pengarah Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan Abu Hanipah@Fauzi Zahari (kiri). - Foto Bernama
Fadhlina (kanan) menunjukkan buku modul penghayatan hadis 40 Imam Nawawi selepas melancarkannya pada Sabtu semasa Program Karnival Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Putrajaya (SMKA). Turut kelihatan, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Dasar dan Kurikulum) Dr Ahmad Rafee Che Kassim (tengah) dan Pengarah Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan Abu Hanipah@Fauzi Zahari (kiri). - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan (KPM) pada Satu melancarkan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi bertujuan memupuk penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah lagi.

Modul tersebut akan mula dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), sebelum diedarkan ke sekolah-sekolah di bawah KPM tahun depan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, modul itu membolehkan guru dan pelajar mendapat penghayatan khususnya untuk memastikan nilai pesanan dan perkara baik dalam hadis dibaca dan dihayati.

"Saya tiada masalah untuk nilai-nilai dalam hadis dibawa ke sekolah dan dalam masa sama, komitmen kita besar untuk melihat anak muslim benar-benar menghayati hadis 40 berkaitan nilai baik.

"Satu daripada hadis Ad Deen An Nasihah bermaksud agama itu adalah nasihat dan inilah yang nak cuba terjemah bila kita minta untuk menghayati semula hadis. Cabaran kita hari ini memastikan semua orang bercakap perkara baik di sebalik kebanjiran idola dan kemarau teladan," katanya ketika berucap pada Karnival dan Peluncuran Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di SMKA Putrajaya di sini pada Sabtu.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Pendidikan Islam KPM, Omar Salleh berkata, modul tersebut dibangunkan selari dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu kerajaan mengambil inisiatif melalui KPM dan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) untuk menerbitkan semula himpunan hadis 40 Imam Nawawi bagi diedarkan di seluruh sekolah.

Beliau berkata, ini supaya penghayatan hadis 40 bermula di peringkat sekolah lagi serta dapat memupuk semangat kasih sayang selain menerapkan kefahaman agama khususnya dalam kalangan pelajar Islam.

"Sehubungan itu, KPM telah mengambil pendekatan dengan membina modul penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang boleh dijadikan panduan kepada semua sekolah KPM. Selain itu, kita turut menggalakkan guru-guru Pendidikan Islam yang aktif di TikTok untuk menghasilkan TikTok yang pelbagai mengikut kreativiti masing-masing yang mengandungi hadis 40," katanya.

Artikel Berkaitan:

Omar berkata, modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi dapat membantu guru melaksanakan aktiviti pengukuhan dalam dan luar bilik darjah dan tidak terhad kepada sekadar membaca hadis sahaja.

Ia termasuk aktiviti seperti pembacaan dan huraian hadis 40 selepas solat, mewujudkan sudut info pengajaran hadis, perkongsian pengajaran hadis dalam perhimpunan mingguan, gotong-royong bertemakan amalan hadis 40 dan silang budaya.

"Kaedah penerapan dirangka ini secara tidak langsung mampu memupuk kasih sayang dalam kalangan murid, manakala penganjuran aktiviti silang budaya yang diterjemahkan melalui modul ini mampu membina karakter dan semangat perpaduan mengikut acuan masyarakat majmuk di Malaysia," katanya sambil menambah hadis 40 merangkumi semua aspek kehidupan seperti iman, moral, nasihat dan komunikasi.

Beliau berkata, modul dirangka dan dibina KPM serta melibatkan pelbagai pihak yang

mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing terutamanya dalam bidang hadis, telah mengambil kira pendekatan meliputi semua peringkat sekolah termasuk sekolah dalam aliran perdana seperti sekolah rendah atau sekolah menengah harian biasa.

Omar berkata, KPM berharap melalui modul itu, ia dapat menerapkan asas kefahaman agama dan keindahan akhlak Islam yang berupaya mengangkat martabat insan (karamah insaniah) dalam usaha untuk

melahirkan anak baik lagi cerdik menerusi aktiviti pembelajaran di dalam dan di luar bilik darjah dengan berpandukan kandungan Hadis 40 Imam Nawawi.

Beliau berkata, melalui penghayatan hadis 40, murid dapat memahami asas Islam, iman dan ihsan untuk dihayati dan diterjemahkan dalam kehidupan seharian selain mempamerkan keindahan muamalat Islam dalam kehidupan bermasyarakat dengan meraikan kepelbagaian agama dan bangsa, di samping membudayakan nilai murni dalam kehidupan dengan melaksanakan tuntutan ajaran Islam yang melarang umatnya melakukan kerosakan di muka bumi.

Sementara itu, Karnival Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi itu diisi dengan aktiviti seperti gotong-royong, pameran melibatkan 10 sekolah dengan setiap sekolah mempamerkan kejayaan, kebitaraan dan kemahiran yang menjurus kepada penghayatan Hadis 40 selain jualan buku ilmiah dan akademik. - Bernama