Jet peribadi tawar tahap keselamatan lebih tinggi - Uggah

Amar Douglas Uggah Embas
Amar Douglas Uggah Embas
A
A
A

KUCHING - Penggunaan jet peribadi memberikan beberapa kelebihan berbanding pesawat komersial kepada pemimpin dan pegawai kerajaan Sarawak termasuk tahap keselamatan yang lebih tinggi.

Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, jet peribadi juga menawarkan lebih kefleksibelan dalam mengatur perjalanan.

"Keselamatan pemimpin dan pegawai tinggi kerajaan Sarawak amat penting sekali serta tidak boleh dinilaikan dengan wang ringgit dan kami akan mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan penerbangan mereka, terutamanya ke luar negara.

"Oleh itu, penggunaan jet peribadi adalah satu pilihan berdaya maju yang mampu memberikan tahap keselamatan yang diperlukan,” kata beliau yang merupakan Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Kedua Sarawak ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementerian itu di persidangan Dewan Undangan Negeri di sini pada Rabu.

Pada 17 Mei lepas, Ahli Dewan Undangan Negeri Pending, Violet Yong Wui Wui mempersoalkan penggunaan jet peribadi oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan lain-lain pemimpin negeri dalam perjalanan rasmi mereka ke London baru-baru ini.

Sementara itu, Uggah berkata, kerajaan Sarawak telah menandatangani satu kontrak dengan Hornbill Skyways untuk menyediakan perkhidmatan pesawat kepada kerajaan negeri, termasuk Yang Dipertua Negeri Sarawak, Premier Sarawak, Timbalan Premier dan Menteri-Menteri Kabinet.

"Jenis jet yang digunakan pemimpin kerajaan negeri tidak ditetapkan oleh kerajaan Sarawak tetapi oleh Hornbill Skyways berdasarkan perjalanan mereka dan kesesuaian teknikal pesawat untuk penerbangan jauh,” katanya. - Bernama