MBK kesan individu tebang pokok di Jalan Indera Mahkota

Tangkap layar rakaman video tindakan beberapa individu yang sedang menebang pokok milik MBK di Jalan Indera Mahkota, pada Ahad.
Tangkap layar rakaman video tindakan beberapa individu yang sedang menebang pokok milik MBK di Jalan Indera Mahkota, pada Ahad.
A
A
A

KUANTAN - Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) mengesan beberapa individu yang terlibat dalam aktiviti menebang sebatang pokok milik agensi itu di Jalan Indera Mahkota, pada Ahad.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Norkamawati Kamal berkata, susulan itu satu kertas siasatan di bawah Seksyen 35A (4) Akta Perancang dan Bandar 1976 (Akta 172) telah dibuka.

"Kita sudah mula mengesan individu terlibat. Semalam, satu laporan polis telah dibuat atas perbuatan khianat selain tindakan penguatkuasaan dan ganti rugi bakal menyusul," katanya ringkas ketika dihubungi pada Selasa.

Pada Selasa, tular satu rakaman video di laman sosial Facebook memaparkan beberapa individu bertindak berani menebang pokok milik MBK.

Rakaman video berdurasi 16 saat dikongsikan di halaman agensi itu turut mendapat 28,000 tontonan.

Mengulas lanjut, Norkamawati memberitahu, Akta 172 menjelaskan mana-mana pihak melanggar peruntukan dalam perintah pemeliharaan pokok merupakan suatu kesalahan.

Katanya, mereka didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan masyarakat untuk tidak sewenang-wenangnya menebang pokok tanpa kebenaran majlis.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!