Puspen Gambang akan dijadikan pusat latihan vokasional AADK

Sutekno (kiri) menyerahkan replika kunci kuarters kepada kakitangan Puspen Gambang di Kuantan pada Khamis.
Sutekno (kiri) menyerahkan replika kunci kuarters kepada kakitangan Puspen Gambang di Kuantan pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Gambang di sini, akan dijadikan pusat latihan vokasional Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Ketua Pengarah AADK, Sutekno Ahmad Belon berkata, bagi tujuan itu, rundingan dengan Pengarah Puspen Gambang dan ibu pejabat dengan beberapa jabatan kerajaan sedang dilaksanakan.

"Kalau boleh kita hendak mereka (agensi kerajaan) membantu kita untuk adakan (dapatkan) sijil kemahiran.

"Ini kerana apabila mereka habis menjalani pemulihan mereka ada sijil dan boleh menyumbang kemahiran di luar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas berakhir majlis perasmian kuarters dan projek tanaman pisang berkelompok serta majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri PUSPEN Gambang di sini pada Khamis.

Dalam perkembangan lain katanya, sebanyak 4,000 pisang jenis nangka dan tanduk ditanam secara berkelompok oleh 30 klien di Puspen Gambang di sini, sejak Januari lalu.

Sutekno (dua dari kanan) melawat tapak penanaman pisang diusahakan 30 klien Puspen Gambang pada majlis perasmian kuarters dan projek tanaman pisang berkelompok serta majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Puspen Gambang di Kuantan pada Khamis.
Sutekno (dua dari kanan) melawat tapak penanaman pisang diusahakan 30 klien Puspen Gambang pada majlis perasmian kuarters dan projek tanaman pisang berkelompok serta majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Puspen Gambang di Kuantan pada Khamis.

Sutekno berkata, projek penanaman pisang itu diusahakan atas tanah seluas 4.451 hektar membabitkan kos sebanyak RM40,000 di bawah akaun Amanah AADK.

Artikel Berkaitan:

"Ini sebahagian daripada modul rawatan pemulihan kita dilaksanakan dalam institusi di seluruh negara.

"Di sini (Puspen Gambang) kita pilih program penanaman pisang, jadi kita akan mengajar mereka (klien) teknik dan kaedah penanaman pisang yang betul.

"Kita juga mengambil mereka yang profesional untuk membantu (klien) bermula daripada proses merawat tanah, menanam anak pokok sehingga ke peringkat penjagaan setiap pokok seterusnya pemasaran," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, setiap Puspen di seluruh negara mempunyai tanaman komersil antaranya sayuran, nanas, tanaman koko,kelapa, cendawan dan rock melon, selain ternakan lembu, kambing serta ayam kampung.

Menurutnya, bagi penanaman bawang pula, pihaknya di peringkat akhir persiapan termasuk melihat lokasi sesuai.

"Kita mahu setiap Puspen ada satu kawasan yang unik, di mana mereka boleh menjadi hub (pengeluaran makanan) sahaja, tetapi klien kita dapat belajar (timba kemahiran) dan hasilnya kita boleh tawarkan kepada penduduk sekitar," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!