Nilai ringgit dibuka lebih tinggi

 Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT dibuka tinggi berbanding mata wang utama, kecuali dolar AS pagi ini, kata seorang penganalisis.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan turun sedikit untuk mencatatkan paras 4.6535/6570 berbanding dolar AS daripada 4.6435/6485 pada penutupan Khamis.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata secara teknikalnya, ringgit berada dalam kedudukan terlebih jual untuk tempoh yang agak lama.

"Oleh itu, beberapa pembetulan boleh dijangka. Sebagai contoh, ringgit boleh mengukuh sekali-sekala terutamanya apabila titik data memperlihatkan beberapa kelemahan dalam ekonomi global.

"Indeks pengurus pembelian (PMI) global terkini bagi sektor pembuatan pada Julai ialah 48.7 mata, iaitu di bawah 50 mata, menunjukkan lebih banyak perniagaan di seluruh dunia menjadi kurang berkeyakinan," katanya kepada Bernama.

Pada masa sama, beliau berkata pelabur masih menantikan ucapan pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) Jerome Powell di Simposium Jackson Hole malam ini yang dijangka memberi lebih banyak pencerahan berkenaan hala tuju dasar monetari AS.

Dalam pada itu, ringgit dijangka berlegar sekitar RM4.64-RM4.65 berbanding dolar AS.

Pada sesi pembukaan pagi ini, mata wang tempatan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.1865/1891 daripada 3.1932/1968, meningkat berbanding euro kepada 5.0230/0268 daripada 5.0373/0427 dan lebih tinggi berbanding pound Britain kepada 5.8578/8622 daripada 5.8829/8892 pada penutupan dagangan Khamis.

Artikel Berkaitan:

Namun begitu, berbanding mata wang Asean yang lain, ringgit bergerak hampir tidak berubah berbanding dolar Singapura pada 3.4298/4326 daripada 3.4292/4332 semalam (Khamis).

Mata wang tempatan susut berbanding baht Thai kepada 13.2749/2905 daripada 13.2645/2848, lemah berbanding rupiah Indonesia pada 305.1/305.5 daripada 304.5/305.0 dan turun berbanding peso Filipina kepada 8.19/8.21 daripada 8.17/8.19 pada Khamis. - Bernama.