Fomca tidak setuju kerajaan kenakan caj 20 sen

Marimuthu berpandangan cadangan kerajaan untuk mengenakan caj perkhidmatan kepada pembeli dalam talian tidak patut dilaksanakan walaupun caj yang dikenakan hanya 0.02 peratus.
Marimuthu berpandangan cadangan kerajaan untuk mengenakan caj perkhidmatan kepada pembeli dalam talian tidak patut dilaksanakan walaupun caj yang dikenakan hanya 0.02 peratus.
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk mengenakan caj perkhidmatan kepada pembeli yang melakukan pembelian dalam talian.

Presidennya, Profesor Datuk Dr N Marimuthu berkata, cadangan berkenaan tidak patut dilaksanakan walaupun cadangan caj yang dikenakan adalah rendah iaitu sebanyak 0.02 peratus.

"Walaupun caj mungkin dikenakan serendah 20 sen bagi pembelian RM1,000 ke bawah tetapi ia juga akhirnya akan membebankan pengguna.

"Mengapa perlu ambil kesempatan untuk kenakan caj pembelian online ini sedangkan banyak lagi alternatif lain yang boleh digunakan kerajaan untuk mencari sumber kewangan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin hari ini bahawa kerajaan bercadang untuk mengenakan caj itu bagi pembelian dalam talian termasuk menerusi portal e-dagang, Lazada dan Shopee.

Zahidi berkata, caj perkhidmatan yang dikutip itu akan digunakan untuk penambaikan sistem keselamatan komunikasi bagi mengelak scammer dan pencerobohan siber.

ARTIKEL BERKAITAN: KKMM cadang rakyat guna e-dagang dikenakan caj 20 sen

Caj 0.02 peratus: Kerajaan tidak pernah buat keputusan, kata Annuar

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pergerakan Pengguna Malaysia, Sukhdave Singh berkata, kerajaan seharusnya mengenal pasti kaedah mengenakan cukai terhadap penyedia perkhidmatan pembelian dalam talian dan bukannya mencari jalan mudah membebankan pengguna.

"Pengguna sudah pun membayar khidmat internet dan data telefon pintar yang juga dikenakan cukai. Janganlah bebankan pengguna lagi dengan caj seperti ini.

"Kerajaan sentiasa berusaha untuk mengurangkan pergantungan terhadap orang tengah supaya pengguna dapat memperoleh barangan dengan harga yang berpatutan dan langkah ini bertentangan dengan objektif ini," katanya.