LUCAS Vazquez menegaskan bahawa tiada sebab untuk meninggalkan Real Madrid sedangkan dia tengah menikmati tempoh cemerlangnya bersama gergasi La Liga itu.

Pemain Sepanyol itu mendapat kepercayaan Zinedine Zidane dan baru-baru ini, menjaringkan gol liga keempat musim ini ketika membelasah Girona 6-3, Ahad lalu.

Dan sebagai anggota pasukan kebangsaan menjelang Piala Dunia Russia, Vazquez gembira dapat beraksi di kelab yang disertainya semula dari Espanyol, tiga tahun lalu.

“Saya fikir saya berada dalam tempoh paling manis dan keyakinan tinggi sejak kembali ke Madrid, saya memberikan sumbangan dan merakamkan keputusan yang baik.

“Impian saya adalah sentiasa bermain untuk Real Madrid. Apabila mereka menawarkan peluang untuk saya kembali, ia menyerupai ganjaran seumur hidup.

“Saya sangat gembira di Real Madrid. Pasukan ini yang membentuk saya sebagai pemain dan saya harap dapat bertahan di sini selama bertahun-tahun lagi," kata pemain berusia 26 tahun itu.